FOLLOWERS

Pages

Wednesday, February 3, 2010

Aurabidadari {14}

Audra melompat masuk apabila suaminya itu menghulurkan tangannya agar dia masuk ke bot laju itu. Perjalanan mengambil masa selama dua puluh minit dari jeti hinggalah ke Pulau Manukan. Himpunan Pulau Tunku Abdul Rahman itu memang sering menjadi tumpuan pelancong bagi aktiviti menyelam. Selepas mereka berdua berkahwin barulah dia mengetahui suaminya itu juga berminat melakukan aktiviti luar. Muzammil sendiri telah pun berjanji dengannya akan membawanya ke Pulau Sipadan bagi melihat keindahan kehidupan dasar laut.
Muzammil yang duduk memeluk bahu isterinya. Beberapa penumpang lain yang turut menuju ke destinasi yang sama memerhatikan kemesraan pasangan itu. Audra mengelap mukanya apabila terkena percikan air masin.
“Jangan gosok mata tu kalau air masuk. Nanti Audra rasa pedih,” tutur Muzammil memberitahu. Audra menganggukkan kepalanya tanda faham. Sekali lagi air memercik dan Audra menyembunyikan wajahnya di dada Muzammil.
“Macam mana hendak menyelam, kena percikan air sedikit pun sudah takut,” ejek Muzammil sambil mengusap rambut isterinya. Audra mendongakkan kepalanya lalu menolak bahu Muzammil.
“Cantiknya,” puji Audra melihat anak-anak ikan bebas berenang ketika dia melangkah naik ke atas jeti. Ikan-ikan yang terdiri daripada pelbagai spesis dan warna itu menarik perhatian Audra. Audra dan Muzammil duduk di atas jeti melihat anak-anak ikan yang berenang.
“Kalaulah Audra tahu tempat ni cantik macam ni, sudah lama Audra sampai ke sini,” katanya duduk bersila di atas pangkin jeti yang disediakan. Entah kenapa suaminya itu membatalkan bulan madu mereka berdua ke Bali? Katanya ada urusan yang penting hendak dibuatnya. Audra tidak membantah dan tidak juga marah kerana rancangan berbulan madu tidak jadi.
“Memang sudah lama Mil hendak mengajak Audra ke mari tapi maklumlah Audra sibuk dengan aktiviti sendiri,” perli Muzammil. Pantas Audra menyiku suaminya. Dia tidak beritahu manalah aku tahu. Kalau dia beritahu sudah tentu akan bersetuju untuk datang ke sini. Reena pernah mengajaknya ke sini tapi terpaksa dibatalkan kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.
“Hari hendak hujan. Esok sajalah kita berenang. Hendak berenang sampai kecut pun boleh. Malam ni kita berehat,” Muzammil menjeling isterinya dengan penuh makna. Dia bingkas bangun lalu menghulurkan tangannya ke pada isterinya. Audra menyambut mesra dan mereka beriringan.
“Jalan tu perlahanlah Mil,” Audra agak ketinggalan kebelakang berbanding Muzammil yang sudah jauh ke depan. Audra berjalan perlahan di atas jalan yang agak berbukit itu untuk menuju ke chalet. Kedatangan mereka tadi di sambut dengan mesra oleh gadis yang bertugas di kaunter tadi. Sebaik saja diberikan kunci chalet tanpa berlengah Muzammil meneruskan perjalanannya.
“Satu pun Audra tidak bawa tapi jalan perlahan?” Muzammil berhenti menantikan isterinya yang berjalan berlenggang itu. Muzammil memeluk erat lengan Audra apabila isterinya itu berada di sebelahnya.
“Sampai juga kita akhirnya sayang….” Muzammil membuka pintu dan meletakkan barang-barang yang dibawanya di atas kerusi yang disediakan. Audra masih lagi berada di luar melihat tumbuh-tumbuhan yang hidup menghijau di sekeliling chalet itu.
Audra melihat hamparan pantai di sebelah kanan chaletnya. Sejuk matanya memandang pasir pantai terbentang itu. Batu-batu kecil dan besar menghiasi di tepian pantai. Audra mengalihkan pandangannya mencari suaminya. Bagaikan tidak percaya melihat suaminya tidur lena di atas sofa yang disediakan.
Tidak jauh daripada ruang menonton kelihatan dapur kecil disediakan. Audra mengangkat naik barang-barangnya ke bilik atas yang telah disediakan. Setelah membersihkan dirinya Audra turun semula mendapatkan suaminya.
“Mil bangun. Waktu asar hendak habis ni….” Audra menggerak-gerakkan kaki suaminya. Muzammil menjelikkan matanya apabila mendengar namanya dipanggil. Muzammil menarik perlahan tangan Audra lalu mencium lembut pipi isteri tersayang.
Audra memainkan jari-jarinya di atas rambut Muzammil. Terasa damai apabila isterinya itu mengurut tengkuknya. Kepalanya dialihkannya ke riba isterinya itu.
“Audra ada buatkan kopi untuk Mil….”
“Baiknya hati.” Kata Muzammil sambil mencuit pipi isterinya. Muzammil bingkas bangun lalu menarik tangan Audra menuju meja. Audra menyuakan cawan yang berisi air kopi itu kepada suaminya.
Purrr!! Kopi yang diminum oleh Muzammil tersembur keluar. Nasib baiklah Audra tidak berada di hadapannya. Audra memandang wajah suaminya dengan wajah yang berkerut.
Apa yang tidak kena dengan kopi tu? Bukannya susah hendak menyediakannya. Kopi dua dalam satu. Bancuh dengan air panas dalam cawan, budak tadika pun tahu membuatnya.
“Air apa yang sayang gunakan ni?? Rasa masinlah air kopi ni,” katanya sambil mengelap mulutnya. Inilah kali pertama dalam hidupnya dia terminum kopi masin.
“Air paiplah.” Sahutnya hairan dengan soalan suaminya. Masak air sudah tentulah daripada paip. Apa dia ingat aku guna air laut? Audra menepuk dahinya.
“Audra lupalah Mil. Audra guna air paiplah. Sudah tentulah air tu masin sedikit rasanya,” Audra ketawa besar apabila dia terlupa akan hal itu. Sudah tentu air yang disalurkan di paip itu menggunakan sumber air masin di pulau ini.
Audra mengambil cawan Muzammil tadi. Dia meneguk air kopi di cawan. Muzammil tercengang melihat perbuatan isterinya itu.
“Sedap juga kopi masin ni…” senyuman berbunga di bibir Audra.
Muzammil menjeling ke arah isterinya. kali ni. Inilah padah pada orang yang tunjuk rajin. Akibatnya suami sendiri terminum air kopi masin.



AUDRA mengenakan goggles sebelum masuk ke dalam air. Seperti yang dijanjikan oleh suaminya hari ini mereka akan berenang dan menyelam untuk melihat kehidupan di dasar laut. Walaupun mereka tidak dibenarkan menyelam terlalu jauh namun itu sudah cukup mengembirakan hati Audra yang sejak semalam tidak sabar untuk melihat hidupan yang ada di dasar laut.
Selesai sarapan bersama dengan suaminya dia bergegas menukar pakaiaan. Hatinya sudah tidak sabar untuk berenang bersama-sama anak-anak ikan yang dilihatnya di jeti kelmarin. Berenang dengan suaminya tidak pernah dilakukannya sebelum ini. Suaminya itu jarang sekali hendak melakukan apabila berada di rumah.
“Audra sudah bersedia?” Audra menganggukkan kepalanya. Muzammil menghulurkan tangannya lalu disambut oleh isterinya. Audra mengikut rentak langkah Muzammil menuju ke gigi air. Audra menggenggam erat tangan Muzammil apabila air sudah separas dadanya.
Audra mengikut apa yang dilakukan oleh suaminya apabila Muzammil mengisyiratkan agar mereka menenggelamkan diri ke dalam air. Audra cuba menyentuh anak-anak ikan yang berada tidak jauh daripadanya. Namun apabila mereka semakin mendekati anak-anak ikan itu bertempiaran melarikan diri.
Bagaikan ikan yang berenang bebas begitulah yang dialami oleh Audra ketika itu. Ruang yang luas dan lebar tidak membataskan pergerakkannya. Pantas Audra mendakap suaminya apabila anak-anak ikan menghampiri mereka berdua. Terkejut dengan tindakan suaminya Audra semakin mendekatkan dirinya kepada Muzammil.
Kelekaannya itu menyebabkan Audra tidak menyedari suaminya yang sudah tiada berada di sisinya. Audra panik seketika. Ke mana menghilang suaminya itu? Tiba-tiba dia merasakan kakinya ditarik. Audra menjerit dan mengurut dadanya. Muzammil berada di sebelahnya sambil ketawa kerana dapat mengenakan isterinya. Audra menumbuk perlahan dada Muzammil. Nasib baiklah tidak hilang semangatnya.
Rasa bahagia menggamit dirinya apabila berpeluang berdua-duaan di pulau ini tanpa gangguan. Dia mengharapkan Muzammil mempunyai masa terluang untuk menemaninya seperti yang dilakukannya selama dua hari ini.
Setelah lima belas minit menyelam Muzammil menarik lengan Audra untuk beredar. Cukuplah untuk setakat ini mereka menyelam. Sebaik saja menghilangkan penat seketika mereka boleh sambung semula.
“Kenapa Mil?” soal Audra sebaik saja mengapungkan badannya. Dia membuka goggles yang dipakainya. Dia belum puas berenang lagi.
“Mil penatlah.”
“Audra masih belum penat lagi,” Ucapnya masih belum terasa puas bermesra dengan alam yang berada di dalam air itu. Kedengaran nafas turun naik Muzammil yang sudah tidak larat hendak menemani isterinya terus berenang.
“Kalau macam tu Mil duduklah di sana tu. Audra hendak berenang pula,” katanya menuding ke arah kerusi rehat yang disediakan. Muzammil akur dengan kehendak isterinya itu. Dia sudah kepenatan untuk terus menyelam berbanding dengan Audra yang masih kelihatan lincah.
“Jangan pergi jauh dan dalam sangat,” Muzammil menepuk perlahan pipi Audra. Audra mengiakan pesanan suaminya itu.
Perlahan-lahan kakinya menapak menuju ke arah longgokkan batu yang besar setelah penat berenang dan menyelam. Berhati-hati dia memanjat untuk naik agar tidak tergelicir. Dia duduk di atas batu yang paling besar sekali. Apabila Audra merasakan di situlah tempat yang sesuai dia melunjurkan kakinya.
Air laut nan membiru sungguh mendamaikan hatinya. Tidak sia-sia datang ke pulau ini untuk menghabiskan hujung minggunya. Audra membuang jauh padangan matanya terus memandang bot-bot yang kelihatan silih berganti datang dan pergi mengunjungi pulau itu.

0 comments: