Muzammil tersenyum apabila membuka kad yang terletak di atas mejanya sebaik saja selesai bermesyuarat. Nampaknya wanita itu tidak pernah kenal erti putus asa. Sheeda…Sheeda macamlah dia tidak tahu yang aku sudah pun berkahwin dan sudah pun mempunyai seorang anak lelaki, ucap Muzammil sendirian.
Ternyata wanita itu tidak pernah melupakan tarikh lahirnya. Kad yang berbentuk hati berwarna merah jambu itu ditatapnya. Muzammil ketawa kecil apabila membaca bait-bait ayat yang tertera pada kad itu. Audra sendiri tidak pernah mengucapkan kata-kata sejiwang itu padanya. Kali terakhir dia bertemu dengan Sheeda ketika peristiwa wanita itu berjumpa dengan Audra tanpa pengetahuannya. Hampir setahun dia tidak mendengar khabar wanita itu dan dia tidak pernah ambil tahu di mana Sheeda berada.
Sheeda, memang nama itu sudah terpadam sehinggalah kemunculan kad pada hari itu. Muzammil berharap agar kad yang Sheeda beri itu dengan hati yang ikhlas.
Dua hari lagi dia akan menyambut harijadinya dan dia bercadang untuk keluar berdua dengan isterinya. Sejak mempunyai Ahmad Danial amat payah untuk dia mengajak Audra keluar walaupun Mak Senah sedia hendak menjaga Danial. Ada saja alasan yang diberikan kepadanya. Muzammil menatap gambarnya memeluk Audra dan ketika itu Danial yang masih berusia tiga bulan berada dalam dakapan isterinya. Anaknya itu kini sudah pun sudah lapan bulan dan semakin nakal.
Audra sendiri sudah tidak bekerja lagi. Dia tidak membantah malah menyenangi kerana tiada apa yang lebih baik jika seorang ibu menjaga anaknya sendiri. Malah ayah mertuanya itu sangat gembira dengan kehadiran cucu sulungnya itu. Hinggakan adik-adik iparnya berasa cemburu dengan perhatian berlebihan pada Danial.
“Kau sudah mendapat kad yang aku kirim?” tanya suara di hujung sana. Muzammil mengaru kepalanya berfikir siapa pemanggil di talian. Kad? Huh…dia tidak menyangka Sheeda akan menghubunginya.
“Oh, kau Sheeda. Aku ingatkan siapa pula tadi. Terima kasih aku ucapkan. Ingat lagi kau dengan harijadi aku rupanya. Kau apa khabar?” soal Muzammil melayan panggilan itu seperti bercakap dengan seorang kawan lama.
“Aku sihat. Bila kau hendak belanja aku makan? Nombor telefon aku ada dalam kad tu. Kalau kau hendak ajak aku makan kau telefonlah aku. Kita tetap kawan Mil. Perkara yang sudah tu aku minta kau lupakan. Lagipun kau sudah bahagia dengan Audra dan anak kau.” Kedengaran suara Sheeda lembut seakan-akan memujuk Muzammil.
Muzammil ketawa. Sudah lama dia memaafkan kesalahan Sheeda. Entahlah kalau Audra masih lagi ambil hati akan perlakuan Sheeda dahulu. Hati isterinya itu keras dan degil. Mesti Audra marah kalau tahu dia melayan panggilan Sheeda itu.
“Nantilah Sheeda kalau aku ada masa. Aku akan ajak Audra dan anak aku sekali.”
“Audra dan anak kau apa khabar? Mesti secomel mamanya?” tanyanya tanpa henti. Dia tidak menduga yang Muzammil sudi melayannya berbual hari ini. Kalaulah dia tahu memang dari dulu dia menghubungi lelaki yang dicintainya itu. Cintanya pada Muzmmil ternyata susah untuk dilupakan.
“Anak dan isteri aku semakin sihat.” Sejak mempunyai anak ini Audra semakin berisi. Setiap hari melayan kerenah Danial membuatkan isterinya seringkali mengadu penat kepadanya.
“Aku ada kerja ni Mil. Nanti kalau senang aku telefon kau lagi. Itu pun kalau kau sudi mendengar suara aku ni.”
“Suka hati kaulah Sheeda. Aku tidak kisah kalau kau hendak berbual dengan aku. Apa salahnya kalau ada masa yang terluang.”
“Okay, bye Mil….”
“MANA Audra… Mak Senah?” soal Muzammil yang baru saja balik dari pejabat.
“Danial tidur Audra pun tidur sekali. Masa Danial tidurlah dia dapat berehat. Mil hendak minum?,” tanyanya apabila melihat Muzammil membuka tutup teko. Selalunya Muzammil tidak cerewet. Hidang apa saja di atas meja dia tidak memilih.
Muzammil mengelengkan kepalanya. Sudah lama dia tidak minum petang bersama isterinya itu sejak punyai Danial. Audra lebih banyak menghabiskan masanya bersama anak lelaki mereka. Kepulangannya tidak lagi bersambut dengan senyuman manis wanita itu. Malah Audra sudah tidak memperdulikan penampilannya. Semuanya kelihatan hambar dan dingin di matanya.
Isterinya yang dulunya aktif berjalan kini lebih suka terperuk di rumah. Sekali-sekala Muzammil inginkan mereka menghabiskan masa berdua tapi ada saja alasan yang diberi oleh Audra apabila dia mengajak keluar. Alasan yang kerap didengarnya Audra tidak mahu meninggalkan Danial di rumah.
“Sayang buat apa tu?” soal Muzammil yang melihat Audra sedang memakaikan baju Danial baju. Muzammil menghampiri isterinya lalu menghadiahkan satu ciuman di dahi dan satu ciuman di kedua belah pipi anaknya itu.
“Baru selesai mandikan Danial.”
“Anak ayah nakal hari ni?” Muzammil mengangkat Danial sebaik saja selesai anaknya itu berpakaian. Danial merengek apabila melihat mamanya jauh daripadanya.
“Sayang…lusa kita keluar makan malam berdua,” katanya sebaik saja Audra keluar daripada bilik mandi. Audra memandang wajah suaminya kehairanan.
“Danial kita tinggalkan dengan Mak Senah sekejap. Audra pakai cantik-cantik malam esok. Audra sekarang ni macam nyonya jual sayur di pasar. Baju pun pakai yang besar-besar,” komen Muzammil. Tersirap darah Audra dengan kata-kata suaminya yang tidak disangka-sangka. Sejak bila suaminya kisah dengan pakaian yang dia pakai?
“Audra malaslah hendak keluar. Mil pun tahu banyak pakaiaan Audra yang tidak muat lagi. Hendak keluar shopping pun Audra rasa tidak selesa kalau Danial ada bersama-sama."”tuturnya agar Muzammil memahami dirinya.
“Kalau macam tu Mil belikan baju untuk Audra nanti,” pancing Muzammil. Apa saja permintaan isterinya akan dia laksanakan dengan sebaik-baiknya. Asalkan isterinya itu mahu keluar makan malam dengannya. Sudah lama dia berbual dan keluar bersama dengan Audra.
“Mil beli pun Audra pakai hanya sekali. Lepas tu baju tu akan tergantung begitu saja dalam almari. Makan di rumah lagi sedap berbanding dengan makan di kedai,” ucap Audra tidak mahu mengalah.
“Malam esok saja kita keluar sayang…” rayu Muzammil mengharap sambil memandang wajah isterinya. Audra menggelengkan kepalanya. Muzammil berasa hampa.
“Ada apa dengan malam esok?” tanya Audra. Mesti ada sesuatu sampaikan suaminya itu tidak putus asa memujuknya untuk keluar makan malam esok. Muzammil mengeluh hampa. Nampaknya isterinya itu tidak mengingati harijadinya. Muzammil bingkas bangun lalu menarik tuala. Hatinya betul-betul kecewa kerana isterinya itu sudah tidak ambil berat akan dirinya.
“Ada apa dengan malam esok Mil?” soal Audra lagi. Muzammil tidak menjawab pertanyaan isterinya itu. Hari lahirnya ada beberapa hari lagi dan dia berharap agar isterinya itu akan mengingatinya.
Muzammil berlalu menuju ke bilik air. Dia berasa kecewa kerana isterinya menolak pelawaannya keluar makan malam.
KELUKAAN hatinya semakin bertambah-tambah apabila Audra langsung tidak mengingati hari lahirnya. Dia tidak perlukan hadiah yang mahal cuma memadailah sekiranya isterinya memberikan satu pelukan atau kucupan seperti yang dilakukannya sebelum kelahiran Danial. Penolakkan Audra untuk makan malam bersama membuatkan dia sedikit kecewa. Dipujuk hatinya dengan mengatakan pasti Audra mengingati hari kelahirannya. Namun dia hampa ketika bertolak ke pejabat tadi isterinya itu sibuk melayan anak lelaki mereka. Sarapan pagi pun dia hanya bertemankan ayah mertuanya dan adik-adik iparnya. Sungguh Audra melupakan hari yang penting bagi dirinya.
Dia rindukan keletah Audra yang manja dan kadangkala memeningkan kepala dengan kedegilannya. Audra yang petah bercakap dan selalu mengajaknya keluar setiap hari. Audra dulu dan sekarang terlalu banyak perbezaannya. Audra dulu aktif ke sana ke mari dengan mengikuti aktiviti luar. Mana perginya Audra yang menjaga penampilan dirinya dan menitik beratkan soal kecantikkan apabila berada di luar mahupun d rumah.
Audra yang ada sekarang ini tidak menitik beratkan semua itu lagi. Dia seperti tidak ambil berat tentang suaminya dengan melebihkan anak mereka. Kenapa ada jurang wujud di antara dirinya dan Audra setelah berkahwin? Semakin Muzammil memikirkannya semakin dia geram. Laju tangannya mencapai telefon.
“Sheeda, kau free tengahari ni?”
“Aku free tengahari ni. Kenapa?” Sheeda tidak menyangka Muzammil akan menghubunginya hari itu.
“Aku hendak belanja kau makan tengahari. Jumpa kau di lobi Promanande nanti pukul satu tengahari”
“Okay Mil.” Gembira hatinya kerana Muzammil mengajaknya keluar tengahari itu. Itulah saat yang ditunggu-tunggunya.
Muzammil tidak menyangka dengan mengajak Sheeda keluar makan tengahari bukanlah satu tindakan yang bijak. Dia tidak menyedari pertemuan pada kali ini menimbulkan masalah besar kepada rumahtangganya.
Novel : Ini Love story ke? 5
-
Oleh : CYDA YUSOF BAB 5 Sepasang suami isteri yang sangat mesra pagi itu
menyentuh hati aku. Wanita itu di hantar oleh suaminya ke pejabat dengan
menaiki m...
2 hours ago















0 comments:
Post a Comment