FOLLOWERS

Pages

Monday, May 10, 2010

Aurabidadari{33}

Suraya, Suhaila dan Hazri cuma memandang tingkat atas. Kedengaran mama dan ayah bergaduh lagi. Sejak akhir-akhir ini kedua orangtua mereka itu begaduh. Suara mama mereka yang nyaring itu adakalanya membuatkan mereka terganggu ketika belajar.
“Kak…apa sudah jadi dengan mama dan ayah ni?” soal Hazri memandang Suraya.
“No comment!” Suraya mengelengkan kepalanya. Dia tahu apa punca pertengkaran ayah dan mama. Cuma dia tidak mahu adik-adiknya rasa tertekan apabila melihat ayah dan mama mereka berdua bertengkar.
“Ila pun bosanlah kak. Sejak kebelakangan ni asyik bergaduh saja. Mama tu kalau bersuara janganlah cakap….” Komen Suhaila. Macamlah ayahnya itu tidak tahu perangai mamanya. Pantang diusik atau ditegur kesilapan. Dia pun hairan melihat perubahan ayahnya dua tiga minggu ini. Sejak akhir-akhir ini ayahnya itu lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
Bila bertingkah dengan mama, ayahnya itu hanya mendiamkan diri tapi tidak kebelakangan ini. Ayahnya itu sudah berani memarahi mamanya. Entah apa sudah jadi dengan orang ni rumah ni?
“Hal orangtua biarlah mereka selesaikannya. Kita tengok sajalah….” Suraya membelek novel di tangannya. Bosan kalau hanya mereka bertiga di rumah hujung minggu macam ni. Audra, Muzammil dan Danial balik ke kampung. Menyesal dia tidak menerima pelawaan kakak dan abang iparnya untuk turut serta.
Apabila mengenangkan dua adiknya itu dia menepis rasa menyesal. Dia tidak mahu adik-adiknya tinggal tanpa teman di rumah itu. Mama tu bukannya boleh harap sangat. Kalau tidak bergaduh dengan ayah sudah tentu dia keluar dengan kekasihnya itu.
Mak Senah tidak ambil peduli dengan hal peribadi dalam rumah itu. Menyediakan pakai dan minum mereka hanya itulah yang dilakukannya. Kadangkala timbul rasa cemburu apabila melihat Mak Senah ambil berat kakaknya. Apatah lagi sejak kakaknya itu ada anak. Danial macam cucunya pula. Pantang si kecil itu menangis. Kelam-kabut Mak Senah dibuatnya.
Panggg!! Kedengaran bunyi hancur. Entah pasu mana atau cermin mana yang menjadi mangsa mama?
“Jangan ingat abang tidak tahu hubungan Aida dengan Azman!” tengking Datuk Azri. Datin Suhaidah menjeling. Bagus! Dia sudah tahu semuanya. Isterinya itu tidak jangan hendak berlakon lagi dan keluar sembunyi-sembunyi untuk keluar bertemu dengan Azman.
“Kenapa diam?” Sakit hatinya melihat reaksi isterinya yang selamba itu. Sudahlah buat salah. Curang! Dia boleh lagi tayang muka sardin dia tu. Sengaja hendak menyakitkan hati aku.
Memang dia buta menilai selama ini. Benarlah cakap Audra, perempuan yang ada di hadapannya itu tidak layak menjadi isterinya. Dia tidak dapat melihat kepura-puraan Suhaidah yang hanya berlakon menyayanginya selama ini. Semua ini kerana harta.
Lebih baik hidup sendirian sampai ke tua daripada mempunyai isterinya nusyuz seperti dia ini. Dayus kiranya dia terus membiarkan isterinya terus-terusan buat perangai.
Bercerai! Dia sanggup untuk melepaskan isterinya itu dan jangan harap satu sen wang daripadanya. Tidak semudah itu dia hendak mempermainkannya. Datuk Azri tersenyum sinis. Sekali-sekala mesti garang.
Datin Suhaidah menjeling tajam. Apa kena orang tua ni tersenyum? Jangan harap dia hendak berbaik dengannya. Datin Suhaidah pun tidak kisah kalau bercerai sekarang ni. Azman sudah berjanji dengannya untuk mengambilnya sebagai isteri sekiranya Azri menceraikannya.
Anak-anaknya? Anak-anaknya itu lebih rapat dengan ayahnya. Terpulanglah untuk anak-anaknya membuat keputusan. Dia tidak mahu anaknya itu menjadi penghalang kasih sayangnya dengan Azman. Bertahun menyemai kasih dan kali ini dia tidak mahu kandas lagi. Cukuplah sekali dia kecewa ditinggalkan Azman.
“Kita bercerai!” Datin Suhaidah nekad. Perkara ini memang sudah lama difikirkannya. Dia tidak mahu otaknya pening berfikir. Keputusan itulah yang dirasakannya wajar untuk mereka berdua.
Datuk Azri mendengar. Perkataan itulah yang ingin didengarnya.
“My pleasure honey!” katanya tenang. Huh! Ingat si Azman tu hendakkan dia sangat. Entah-entah dua kali lima. Dua-dua pun gilakan harta. Jangan harap hartanya jatuh ke tangan mereka berdua. Datuk Azri ketawa senang di dalam hati.
Datin Suhaidah mengetap bibirnya. Sakit hati mendengar jawapan lelaki itu. DIa hendak buat suaminya itu sakit hati tapi dia pula yang sakit hati dibuatnya.
“Dengan syarat….” Ucap Datuk Azri. Dia tahu Suhaidah pasti akan mempersetujui syarat yang akan dikenakannya. Datuk Azri mengeluarkan kertas dari begnya.
Syarat! Sejak berbaik dengan anak celupnya itu bukan main lagi dia pandai meletakkan syarat kepadanya. Ini mesti Audra yang mengajar ayahnya itu. Budak itu bijak sudah tentu ayahnya pun terpengaruh. Huh!
“Hanya sejuta?” Datin Suhaidah berasa tidak puas hati. Syarat yang pertama dia puas hati. Untuk menyerahkan anak-anaknya di bawah penjagaan Azri dia tidak ada halangan. Syarat kedua, hanya sejuta wang saguhati diberikannya. Ingat sejuta tu banyak?
“Isteri nusyuz dapat sejuta cukuplah. Hendak bawa ke mahkamah bawalah. Sepatutnya isteri nusyuz satu sen pun tidak dapat apa-apa. Cuma aku bersimpati sebab itulah aku beri sejuta ”
Datin Suhaidah terdiam mendengar kata-kata suaminya. Datuk Azri mempunyai bukti yang cukup jangan dia pandai-pandai hendak minta itu dan ini. Cukuplah selama ini dia bermandikan kemewahan yang diberi. Kira dia cukup baik hati!
Arghhh!!! Sejuta pun sejutalah. Duit ini dia boleh buat modal berniaga. Lagi pun dia ada Azman. Apa dia hendak takut? Selepas ini dialah orang yang akan sentiasa berada di sampingnya.



AZMAN memandang Suhaidah. Khabar yang dibawa oleh Suhaidah itu memang sudah diduganya. Sejak dia tahu Audra mengetahui perhubungan mereka berdua dia sudah merasakan bahawa rancangan yang diatur akan menghadapi rintangan dan akhirnya berkecai.
Sesekali dia mengerutkan keningnya apabila mendengar Suhaidah yang rancak berbual itu. Berlagak menjadi seorang pendengar yang baik. Sedangkan dia tidak tahu butir percakapan perempuan itu.
“Oiii…Aida bercakap dia termenung pula!” sergah Suhaidah.
“Man dengar ni sayang,” katanya agar wanita di hadapannya itu tidak merajuk. Perempuan bodoh! Dia sebenarnya tidak pernah mencintai perempuan itu. Isterinya jauh lebih cantik daripada perempuan yang duduk di hadapannya ini. Bicaranya lembut bukannya macam Suhaidah yang kasar dan suka menengking itu.
“Lepas Azri ceraikan Aida, kita kahwin ya Man?…” Suhaidah menarik tangan Azman ke dalam gengamannya. Mendengarkan permintaan Suhaidah pantas Azman menarik tangannya. Suhaidah kehairanan. Berjauh hati dengan perbuatan Azman sebentar tadi. Bukankah selama ini, itulah berita yang ditunggu-tunggu. Sebaik saja Azri menceraikannya mereka berdua akan hidup bersama. Bukankah ini satu berita yang amat mengembirakan bagi mereka berdua.
“Kita kahwin?” tanya Azman sinis.
Suhaidah terkejut sekali lagi mendengar pertanyaan Azman.
“Yalah kahwin! Ingat Aida main-main hendak kahwin dengan Man,” balasnya geram. Sengaja menduga atau memang benar apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Hatinya berdetak kencang.
“Man sudah pun kahwin. Untuk kahwin lagi sesuatu yang mustahil. Man bahagia dengan isteri dan anak-anak Man sekarang.”
Terbelalak mata Suhaidah mendengarkan. Badannya serta merta mengigil ketika itu. Cuba melayangkan sebuah tamparan ke muka Azman dan dapat ditangkap oleh Azman.
“Jangan sekali-sekali hendak menampar aku. Perempuan macam kau ni tidak layak jadi isteri aku. Tengok saja Azri yang lebih kaya dan baik itu boleh kau curangi. Tidak mustahil satu hari nanti bila aku papa kedana kau akan tinggalkan aku” Azman ketawa mengejek.
“Aida tidak main-main dalam perhubungan kita Man.” Katanya dalam sendu.
“Huh! Kalau bercakap kau memang pandai Aida. Bukankah kau kahwin dengan Azri kerana hartanya? Aku masih ingat semua tu Aida. Aku yang tidak punyai apa-apa ketika kau tinggalkan.”
“Kau memang lelaki tidak guna Man. Kau berdendam dengan aku!” Suhaidah tidak dapat mengawal marahnya yang membara. Sampai hati dia mempermainkan aku.
Azman tersenyum sinis. Sekarang ni baru padan muka kau!
“Kau baliklah jumpa Azri minta maaf dengan dia. Manalah tahu dia masih sayangkan kau,” nasihat Azman.
“Jahanam kau!” satu tamparan singgah di pipi Azman. Azman memegang pipinya. Geram melihat Suhaidah tersenyum. Puas hati kerana dapat menampar lelaki bangsat itu.
“Aku ingatkan! Sekali lagi tangan kau sampai di muka aku. Nahas kau, aku kerjakan. Ingat!” katanya lalu pergi meninggalkan Suhaidah yang masih binggung dengan kejadiaan hari itu.
YA-ALLAH apakah semua ini? Hatinya merintih dan menyesal dengan kejadiaan yang menimpa dirinya hari itu. Dia mengesat airmata yang bergenang di pipinya. Terbayang wajah suami di matanya. Maafkan Aida. Maafkan mama Suraya, Suhaila, Hazri.
Kemanakah arah yang akan ditujunya selepas ini jika Azri tidak lagi sudi menerimanya? Teringatkan segala kecurangan yang dilakukannya. Kekasarannya terhadap Audra. Maafkan mama Audra.
Memang selama ini dia yang bersalah pada anak tirinya itu. Kesalahan yang amat berat dan tidak mungkin Audra akan memaafkannya. Terbayang di matanya Audra menangis di hadapannya meminta ampun dan minta dilepaskan rambut yang ditariknya.



“MAAFKAN Aida bang…” katanya sujud di kaki suaminya. Datuk Azri yang bermain-main dengan cucu sulungnya itu terkejut. Apahal minta maaf dengan aku ni? Audra yang duduk tidak jauh daripada ayahnya itu juga turut terkejut dengan adegan yang tidak disangka-sangka itu.
“Aida bersalah. Aida tahu, Aida ni isteri yang curang. Maafkan Aida bang. Aida pohon daripada abang dan Aida berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” tuturnya lembut. Airmatanya bergenang di kelopak matanya.
“Maafkan mama Audra!” katanya sambil memandang Audra. Matanya di alihkannya semula bertentangan dengan suaminya. Kedua belah tangannya memegang lutut kaki suaminya.
Bab ini dia malas hendak melayan. Entah mimpi apa yang menyebabkan perempuan di depannya itu sanggup minta maaf dengannya? Audra memandang ayahnya yang diam kaku itu.
“Ayah….” Audra mengambil Danial daripada ayahnya. Audra merenung ayahnya. Datuk Azri menganggukan kepalanya seakan-akan tahu isyarat diberi oleh anaknya itu. Hal rumahtangganya biarlah mereka berdua berbincang secara baik.
Audra berlalu pergi. Hatinya masih berdegil untuk memaafkan mama tirinya. Huh! Senang-senang dia minta maaf. Tidak semudah itu. Manusia apa dia tu? Binatang pun tahu sayangkan anaknya! Dia dikurung tanpa diberi makan. Mana mungkin Audra boleh melupakan semuanya.
“Aida minta maaf bang.” Pohonnya sekali lagi. Rasa malu diketepikannya. Ketika itu dia hanya mahukan kemaafan daripada suaminya.
“Maaf!” kata Datuk Azri sinis.
“Kenapa tidak pergi kepada kekasih yang kau puja tu? Sudahlah Aida, aku hendak termuntah melihat lakonan kau ni. Kau carilah kebahagian yang kau hendak. Segalanya sudah terlambat!” Dia menolak tangan Datin Suhaidah lalu berdiri tegak.
“Azman sudah tidak mahukan Aida,” katanya sambil tersedu-sedu menahan tangis. Datin Suhaidah mendongak memandang suaminya itu.
“Oh, bila sudah ditinggalkan oleh kekasih baru hendak menyesal? Too late! Kita tetap akan bercerai Aida.” Kata-katanya kali ini amat tegas. Dia tidak menyesal untuk menceraikan isterinya itu. Kebahagiaan itu pasti akan menjadi miliknya. Walaupun tanpa seorang wanita yang bergelar seorang isteri dia yakin akan hidup dengan bahagia.
“Berilah Aida peluang sekali lagi,” rayunya berkali-kali. Cuba memeluk suaminya tapi Datuk Azri pantas berundur.
“Terlalu banyak kesilapan yang Aida buat. Apa salah abang pada Aida hinggakan sanggup mengupah orang hendak membunuh abang? Apa Aida ingat kemalangan yang dirancang hari itu abang tidak tahu? Abang maafkan Aida tapi untuk hidup bersama tidak sama sekali. Pandai-pandailah Aida menyesuaikan diri kelak. Rasanya duit sejuta yang diberi sudah mencukupi jika dibandingkan perbuatan yang Aida lakukan pada abang selama ini.”
Datin Suhaidah memejamkan matanya. Terlalu pahit kenyataan yang dilemparkan oleh suaminya itu. Terduduk di sofa dan Datuk Azri menghilang entah ke mana. Menyesal sekarang ni tidak berguna. Nampaknya dia akan meninggalkan rumah dan penghuni dalam rumah ini. YA-ALLAH jika inilah balasan atas segala kesalahan yang telah aku lakukan, aku redha menghadapinya.

1 comments:

Anonymous said...

bila nak smbung nie??!!
-QHiwa-