اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
Hari ini 18 Ogos 2013 (Ahad), Cerpen bertajuk 'Kasih Amani' tersiar di New Sabah Times.
Matanya mencerlung memandang anak lelakinya. Nasi yang dikunyah terasa seperti pasir. “Apa?” Melengking suara Maimunah mendengar
penjelasan gadis di hadapannya itu.
Mendengarkan suara isteri yang boleh memecahkan
gegendang telinga, pantas Ikhlas bertanya,“Amani tinggal dengan siapa?” Dia sendiri terkejut dengan jawapan yang
diberikan oleh kekasih anaknya.
Kelihatan Amani tenang dengan situasi yang dihadapinya sekarang. Amani menoleh Iqram yang duduk di sebelah. Jawapan yang akan keluar dari mulutnya sekejap lagi pasti akan membuatkan ibu ayah Iqram terkejut lagi.
Kelihatan Amani tenang dengan situasi yang dihadapinya sekarang. Amani menoleh Iqram yang duduk di sebelah. Jawapan yang akan keluar dari mulutnya sekejap lagi pasti akan membuatkan ibu ayah Iqram terkejut lagi.
Amani tersenyum manis walaupun hatinya sudah
tercalar dengan penerimaan ibu Iqram. Amani
memberitahu dengan tenang, “Selepas kejadiaan itu saya tinggal di rumah anak
yatim.” Muka wanita itu dilihatnya berubah
masam. Tidak seperti mula-mula tadi,
kehadiran Amani disambut dengan senyuman manis dan tutur kata yang lemah-lembut.
“Iqram, ibu tidak mahu melihat muka perempuan
ini. Lepas makan hantar dia balik, ” ucap
Maimunah menjeling tajam Amani seraya
bingkas bangun.
Iqram memandang Maimunah meminta belas simpati lalu
berkata,“Ibu....” Dia memerhatikan ibunya berlalu tanpa menyahut
panggilannya. Iqram berasa kecewa dan
terkejut dengan reaksi ibunya. Ikhlas pantas mengekori langkah si isteri. Amani
membatu seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
Maimunah berasa sakit hati. Perempuan seperti Amani
tidak layak menjadi menantunya. Dia
tidak mengharap perempuan yang cantik atau kerabat di raja menjadi menantunya
cukuplah seorang perempuan yang mempunyai latar belakang yang baik. Rasa laparnya hilang entah ke mana? Dadanya berombak ganas dan kepalanya berdenyut-denyut sakit apabila
memandang wajah Amani yang tenang.
Pantas Ikhlas menarik tangan isterinya yang hendak
menaiki anak tangga. “Mai...kenapa ni? Bukankah Amani tu tetamu kita? Walaupun siapa pun dia, Mai tidak patut buat dia macam tu....” Kedengaran suara
Ikhlas menegur sikap isterinya yang melampau itu.
“Saya tidak mahu bermenantukan anak penagih
dadah. Sudahlah asal usul keturunannya
pun kita tidak tahu. Masih ramai lagi
anak dara yang boleh dibuat menantu tapi bukan dengan perempuan anak pembunuh
tu.” Maimunah mendengus. Kenapa Iqram tidak berterus terang lebih awal
lagi? Sekiranya anaknya itu sudah tahu
sejarah keturunan gadis itu kenapa Iqram masih mahu membawa ke rumah ini? Sengaja hendak menaikkan darah.
“Mai...perlahankan suara tu. Kasihan Amani kalau dia dengar,” tegur
Ikhlas.
“Abang sajalah layan perempuan tu. Saya hendak naik, tengok muka dia yang
menyampah tu percuma darah saya naik nanti.
Sukalah dia tu kalau saya mati, bolehlah dia kahwin dengan Iqram” Bagaikan
das yang meletus kata-kata Maimunah.
Ikhlas
mengeleng. Dia tidak menjangka begitu sekali sikap isterinya. “Astaghfirullah al-azim...mengucap Mai. Setan sudah menguasai hati dan fikiran.” Dia
cuba menenangkan marah isterinya yang meruap-ruap ketika itu. Kemarahan wanita itu jangan ditambah jika
tidak mahu berpanjangan. Sudahnya Ikhlas
membiarkan isterinya meninggalkan mereka semua.
“Amani,” tegur Iqram yang melihat
sedari tadi Amani mendiamkan diri.
Kalaulah orang lain sudah pasti akan menangis, menghadapi situasi pertama kali bertemu dengan
bakal mertua dan terus mendapat tentangan
daripada keluarga lelaki. Malah dia
dipandang hina kerana berbapakankan seorang penagih dadah dan membunuh emaknya.
Amani tersenyum pahit dengan lambat dia berkata
kepada Iqram, “Saya tidak apa-apa, Iqram jangan risau,” Dia sudah menjangkakan perkara ini akan
terjadi. Sudah dibicarakan hal ini
dengan Iqram tetapi lelaki itu terlalu yakin
ibunya akan menerima dia sebagai menantu. Keyakinan Iqram itulah membuatkan dia kuat
untuk melangkahkan kaki ke rumah lelaki itu.
Namun Amani tetap bersedia untuk menghadapi keberangkalian yang akan
terjadi.
Keceriaan milik gadis itu sudah hilang dan wajah
pujaan hatinya kini menjadi mendung. Tidak seperti selalu apabila mereka bertemu,
gadis itu petah berbicara dan ada saja idea untuk mengenakannya. Iqram menyesal kerana sering mendesak Amani
untuk segera bertemu orangtuanya.
Mungkinkah hari ini bukan masa
yang sesuai untuk mereka bertemu? Jika bukan hari ni, bila lagi? Dia tidak mahu melambatkan hasrat hatinya
yang satu ini.
Ikhlas menghampiri Iqram dan Amani. Lantas dia memberitahu, “Maafkan ibu Iqram,
Amani. Dia kurang sihat.” Amani tahu alasan diberikan itu sengaja
diciptakan. Dia cuma tersenyum mendengarkannya. Kurang sihat?
Amani tidak dapat menerima alasan itu.
Wanita itulah yang menyambutnya di muka pintu dengan senyuman manis
gula. Tangan wanita itulah yang
mengenggam erat tangannya dan memimpin masuk hingga ke ruang tamu. Malah wanita itu memuji dia nampak cantik
dengan berbaju kurung cotton english
biru. ‘Bila hati sudah tidak suka kek
velvet yang sedap di makan pun terasa pahit’, getus hati Amani.
Ikhlas tidak sanggup menatap wajah Amani yang
kelihatan sugul itu. Dia berasa bersalah
yang amat mendalam dengan penolakan isterinya. Kata Ikhlas kepada anaknya, “Iqram, hantar
Amani balik. Ayah hendak menjenguk ibu
kamu di atas.”Bukan dia hendak menghalau Amani tapi dia sendiri tidak sanggup
melihat kekecewaan wajah gadis itu.
Sikap isterinya itu membuatkan dia malu untuk
berhadapan dengan Amani. Biarlah keadaan
menjadi jernih barulah dia akan berdiplomasi dengan isterinya itu. Dia tidak membantah sekiranya Iqram hendak beristerikan
Amani.
Amani
dilihatnya seorang gadis yang baik, tutur katanya sopan dan nampak ketegasan pada
dirinya. Lagipun dia yakin Iqram bahagia
bersama wanita pilihannya. Bagi Ikhlas
tiada sebab dia tidak menerima Amani menjadi menantunya. Status Amani yang berbapakan seorang penagih
dan pembunuh tidak mendatangkan masalah kepadanya. Orang yang membunuh dan menagih itu bapanya
bukannya Amani. Ikhlas yakin anaknya
membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya.
Sebaik saja Ikhlas hilang dari pandangan, Iqram
berkata dengan tegas kepada Amani,“Walau apa pun yang terjadi kita tetap akan
kahwin. Percayalah....” Dia tahu latarbelakang gadis itu tidak
seindah yang dipunyai oleh orang lain.
Malah dia kagum dengan kekuatan yang ada pada diri Amani. Dia tidak malu mengaku bapanya seorang
penagih dan membunuh ibunya sendiri di awal perkenalan mereka.
Amani memandang wajah kesayangannya. Ada tanda kesedihan di mata lelaki itu. Amani berkata dengan lembut, “Saya tidak mahu
Iqram jadi anak derhaka.” Dia tidak mahu
mengeruhkan hubungan antara ibu dan anak.
Iqram memandang gadis di hadapannya itu. Dia tahu Amani seorang yang tegas tapi kali
ini dia akan berkeras. “Kita tetap akan
kahwin, Amani. Percayalah dalam tempoh
tiga bulan kita akan menjadi suami isteri,” kata Iqram dengan nada lembut.
Amani hanya mendiamkan diri. Bukan masa yang tepat untuk membicarakan
mengenai perkahwinan mereka. Pasti
fikiran Iqram bertambah kusut sekiranya dia membantah. Walau apa yang akan terjadi Amani tidak mahu
berkahwin tanpa restu ibu ayah Iqram.
Iqram telah meletakkannya di tempat yang sukar.
“Amani, pasti ibu akan menerima Amani sebagai
menantunya. Iqram tahu bukan senang bagi
Amani menghadapinya tapi Iqram pasti ibu akan menerima sayang satu hari
nanti. Sayang kena sabar dan Iqram tahu
Amani pasti boleh,” pujuk Iqram. Itulah
Iqram lelaki yang dikenalinya hampir setahun.
Dia memang baik dan beruntung siapa yang memilikinya sebagai suami.
Sekarang ini harapannya untuk menjadi pendamping hidup lelaki itu kelihatan kabur. Sanggupkah Iqram membelakangkan kedua orang
tuanya? Syurga terletak di bawah kaki
ibu dan Amani tidak mahu Iqram menjadi anak derhaka.
**********
Maimunah berjalan ke kiri, sekejap
beralih ke kanan ruang tamu rumah. Langkah
kaki menghampiri suami yang sedang membaca suratkhabar. Dia melabuhkan punggung di sebelah lalu bertanya kepada Ikhlas,“Apa sudah jadi
dengan Iqram tu bang?” Dia risau dengan keadaan anaknya, balik dari kerja terus
berkurung di dalam bilik. Waktu makan
malam pun anaknya tidak turun. Suami
seperti turut memboikot dirinya sejak kehadiran Amani ke rumah mereka.
Wajah suami dipandang. Maimunah mengeluh tatkala suami tidak
memberikan sebarang respon. Mereka hanya
tiga beranak di dalam rumah ini. Anak
lelakinya melancarkan mogok dan suaminya kurang bercakap dengannya. Maimunah menyalahkan Amani. Jika gadis yang dibencinya itu tidak datang
ke rumah sudah tentu pertengkaran tidak berlaku dan dia tidak sakit hati. Memang dia tidak nafikan Amani cantik dan
lemah-lembut tutur katanya. Gadis itu tidak melawan apabila dia menghamburkan
kata-kata kesat. Malah dia terkejut
apabila Iqram memberitahunya gadis itu tidak akan berkahwin dengan anaknya
tanpa restu daripada mereka berdua.
Latarbelakang gadis itu membuatkan
dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia akan bermenantukan anak penagih
dadah dan pembunuh. Apa jawapan yang
harus diberi sekiranya saudara-mara dan
rakan-rakan apabila bertanyakan asal-usul menantunya? Malu! Sudah tentu akan
menjadi bahan perbualan. Dia mana dia
hendak letak mukanya? Iqram hanya satu-satunya
anak lelakinya dan mustahil dia tidak boleh mencarikan calon yang lebih baik
daripada Amani.
Maimunah mengetapkan bibirnya. Hatinya sebal kerana tidak dilayan. Langsung
suaminya tidak memperdulikannya. “Abang!” Meninggi suaranya memanggil Ikhlas.
“Kenapa Mai? Apa yang Mai tidak puas
hati lagi ini? Iqram tidak akan kahwin
dengan Amani tanpa restu Mai. Bukankah
itu yang Mai mahukan? Sukalah Mai
melihat Iqram tu jadi macam tu? “
Bertubi-tubi soalan yang dilontarkan oleh suaminya. Maimunah menjeling suaminya.
Ikhlas ketawa melihat tingkahlaku
Maimunah. Dia tahu isterinya marah dan
dengan lembut Ikhlas berkata, “Sepatutnya Mai berterima kasih dengan Amani. Dia
tidak akan berkahwin dengan anak lelaki kita tu tanpa restu daripada kita
berdua. Iqram tidak membelakangkan orang tuanya. Apa yang kita dapat berkeras macam ni? Mai
suka tengok keadaan anak kita yang tidak terurus dan nampak menderita? Iqram yang hendak berkahwin biarkanlah. Lagipun abang tengok Amani tu baik orangnya.”
Ikhlas menanti isterinya
bersuara. Lama dia menantikan, lalu
Ikhlas menyambung kata-katanya “Amani tidak minta hidupnya sebegitu rupa.”
“Iqa setuju dengan ayah tu ibu...”
Atiqah menyampuk perbualan ayah dan ibunya.
Begitu serius sekali wajah kedua orang tuanya. Dia putus urat tekaknya memberi salam. Dia pun serbu masuk ke dalam, nasib baiklah
pintu tidak berkunci. Serius sekali ayah
dan ibunya berbincang.
Maimunah menjenguk mencari-cari
kelibat cucu-cucunya lalu bertanya kepada anak perempuan sulungnya, “Balik
seorang saja? Mana budak-budak?” Dua
hari lepas dia menelefon kedua anak perempuannya dengan harapan agar si kakak
dapat memujuk adik lelaki bungsu mereka.
“Budak-budak pergi tengok wayang
dengan abah mereka. Iqa pun tidak boleh
lama ni ibu. Iqa sudah janji hendak
makan tengahari bersama-sama.”
“Laaaa, penat-penat ibu masak
banyak. Ingatkan semua datang...”
Maimunah memandang keluar. Mana yang
seorang lagi? Seorang ini selalu datang lambat.
Janji pukul 10 pagi mesti pukul 12 tengahari baru datang. Janji tidak
pernah ditepati.
Atiqah serba salah hendak
memberitahu lalu tanpa memandang muka ibunya,
dia memberitahu, “Qilah tidak dapat datang. Katanya tadi dia ada hal dengan emak mertuanya.”
Pasti ibu akan marah kerana adiknya tidak memberitahu terus kepada ibu mereka itu. Aqilah memberitahu kepadanya yang dia tidak
akan masuk campur soal pilihan isteri lelaki mereka. Dia pun turut gembira sekiranya adiknya itu
bahagia.
“Kamu berdua ni kalau tidak di suruh
datang ke rumah, hendak menjenguk ibu pun payah sekali. Bukan jauh mana pun, setengah jam pun sudah
sampai ke rumah ni,” kata Maimunah kepada
Atiqah seraya memandang garang muka
anaknya. Sejak anak-anak perempuannya
berkahwin dan beranak-pinak ni jarang sekali mereka meluangkan masa
bersama-sama. Cucu-cucu pun jarang
menjenguk. Malah tidak mesra dengannya dan lebih kerap berada
di rumah besannya. Bukannya dia tidak
pernah mengadu dengan kedua anak perempuannya.
Jawapan yang diberi hanya akan menyakitkan hati.
Atiqah menarik nafas. Rasa menyesal balik apabila kedatangannya
hanya untuk mendengar kata-kata ibunya yang menyakitkan. Dia sebolehnya tidak mahu membalas ayat yang
keluar dari mulut ibunya. Atiqah
mengalih pandangan ke arah ayahnya, seperti kebiasaan ayahnya hanya mendiamkan
diri.
“Ibu suruh Iqa balik dengan Qilah
supaya tolong pujuk adik kamu tu.
Kenalkan dia dengan kawan-kawan kamu yang masih bujang. Ramai perempuan, itu juga yang
dimahukannya. Manalah tahu Iqram berubah
kalau jumpa perempuan yang lain,” ucap Maimunah dengan perasaan sayu kepada Atiqah. Dia sudah tidak tahu cara hendak menegur anak
lelakinya. Sejak akhik-akhir ini Iqram sudah
pandai balik lambat dan apabila dia bertanya Iqram hanya mendiamkan diri dan
terus berlalu ke biliknya tanpa sepatah kata.
Atiqah pening dengan permintaan
ibunya. Sudah tentu Iqram akan marah
sekiranya dia bersetuju untuk memperkenalkan Iqram dengan wanita lain. Iqram dan ibunya masing-masing degil. “Iqa dan Qilah malaslah masuk campur hal adik
ni, ibu. Pandai-pandailah ibu uruskannya. Iqa sudah lambat ni,” ucapnya.
Dia dan adik perempuannya tidak mahu terlibat memusnahkan kasih yang tercipta di antara Iqram dan Amani. Ramai gadis yang ingin menjadi pasangan Iqram tapi semua adiknya tidak berkenan. Sudah tentu Amani istimewa hinggakan warna-warni cinta yang indah hinggap di hati Iqram.
Dia dan adik perempuannya tidak mahu terlibat memusnahkan kasih yang tercipta di antara Iqram dan Amani. Ramai gadis yang ingin menjadi pasangan Iqram tapi semua adiknya tidak berkenan. Sudah tentu Amani istimewa hinggakan warna-warni cinta yang indah hinggap di hati Iqram.
Maimunah menjeling tajam Atiqah. Belum pun sampai lima minit sudah hendak
balik. Nasi seperiuk, ayam sekuali dan
sayur sebelangga pasti dibuang akhirnya.
Rasa geram menghuni diri masih belum hilang dengan sikap anak-anaknya
membuatkan dia rasa terpinggir
.
.
Sebaik saja Atiqah melangkah keluar pintu, suara
Maimunah bergema,Baliklah!” Nafasnya turun naik. Anak-anak perempuan langsung tidak ambil
peduli akan perasaannya. Sejak berkahwin
sudah tidak memperdulikannya. Anak
lelaki pula sedang melancarkan mogok dan hanya mendiamkan diri apabila
ditegur. Awal pagi ke pejabat dan balik
terus berkurung di dalam bilik. Hanya
kelihatan mukanya waktu makan malam itupun setelah Ikhlas puas mengetuk pintu
bilik. Iqram hanya mendiamkan diri.
Maimunah merenung wajah Ikhlas,
suami yang dikahwininya selama 30 tahun.
“Kenapa?” soal Ikhlas sedari tadi memerhatikan isterinya yang sedang
berperang dengan emosi. Ikhlas tidak
mahu memperbesarkan isu yang sedang berlaku.
Buka mulut saja dia akan bertelagah dengan Maimunah. Kesudahannya jalan yang terbaik adalah dengan
mengalah.
Maimunah mengelengkan kepala. Dia gagal menjadi ibu kepada
anak-anaknya? Airmata yang jatuh menitis
di pipi dibiarkannya lalu berkata kepada suaminya dengan nada yang lirih,”Mai
bukan ibu yang baik untuk anak-anak kita.”
Ikhlas mengusap lembut pipi
isterinya. Seorang isteri untuk dikasihi
dan disayangi bukannya untuk dimarahi. Sikap pemarah isterinya itulah saling melengkapi kehidupan berdua. Dia akan terasa kosong sekiranya sehari dia tidak
mendengar isterinya itu tidak marah.
“Mai, isteri dan ibu yang baik cuma anak-anak tidak
dapat menerima sikap pemarah sayang tu,” ucapan Ikhlas lembut itu menyentuh
hati Maimunah. Dia bersyukur kerana
mempunyai suami yang sabar melayan kerenahnya.
Dia harus berubah sekiranya tidak mahu kehilangan
orang-orang kesayangan. Menyedari
kekhilafan diri, Maimunah berkata kepada suaminya, “Maafkan Mai, bang.”
*********
Maimunah tersenyum bahagia. Dia memanjatkan rasa syukur kepadaNya kerana
diberi peluang untuk mengecapi kegembiraan.
Sedikit demi sedikit dia dapat mengawal perasaan marahnya. Fikirannya pun menjadi tenang. Hubungan dengan anak-anak semakin akrab. Setiap minggu mereka akan berkumpul sekiranya
anak-anak tidak ada program lain.
Kemeriahan hidup sekeluarga sungguh bermakna baginya ditambah lagi
dengan kehadiran ahli baru.
Perkahwinan Iqram dengan Amani dilangsungkan
dengan sederhana. Dia tidak peduli
dengan cakap-cakap yang dilemparkan kepada keluarganya kerana bermenantukan Amani. Mulut orang, jika dibiarkan lama-lama akan berhenti sendiri. Maimunah menerima Amani sebagai menantunya
dengan hati yang terbuka. Ternyata Iqram
tidak salah memilih dan sejak tinggal bersama Maimunah sudah mempunyai teman
berkongsi kegemaran dan citarasa. Sikap
dan tingkahlaku Amani banyak membantu perubahan dirinya. Menantunya itu juga rajin membantu di dapur.
Ikhlas bertanya kepada isterinya, “Apa
yang Mai renungkan tu?” Ikhlas memandang wajah si isteri dan dibalas
oleh si isteri dengan penuh kasih-sayang. Suami yang amat disayanginya hingga ke akhir
hayat nanti. Ikhlas mengenggam
jari-jemari wanita itu seakan tidak mahu melepaskan.
Apabila
seorang suami memandang isterinya dengan kasih sayang
dan
isterinya memandang dengan kasih sayang.
Bila suami memegang
telapak
tangan isterinya maka dosa-dosa keduanya berguguran dari celah
jari
tangan keduanya. (H.R Rafi’i)
Maimunah
tersenyum bahagia dan membiarkan soalan itu terus berlalu.
10 comments :
tahniah akak!! :)
wahhh... cerpen akak selalu keluar la.... :)
terima kasih adik
mcm mn ye cite tu..npk menarik..
minta tempias aura-aura bertuah dulu ni.. :-)
hahahaha sis dhuha, aura kurang menyengat tunggu novel keluar & e novel. idea yang timbul tenggelam
bagus ceritanya.. ada moral of the story. :)
salam kenal..
terima kasih Ayu Zan, sudi2kan berkunjung lagi
MENARIK CERITANYA...
hai..kak..wa..bagus la cerita akak ni...sya jmpa blog yg menarik ni pun..kerna akak pnah berkungjung p blog sya..trma ksih... :)
wahh kamu penulisnya ye cerita cerpen ni..hebat!!
hehe saya pun dah lama tak layan cerpen2 ni, last masa sekolah hari tu..
best2..saya baca sampai habis ni hehe chayok2!! c;
Post a Comment