Sunday, January 11, 2015

RINDUKU BERBISIK -[BAB 1]-



-BAB 1-

Ainun Khumaira menolak troli yang berisi penuh dengan beg. Matanya meliar memandang keadaan ketibaan Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu yang dipenuhi dengan orang ramai. Selama tujuh tahun dia berada di luar negara baru kini dia menjejakkan kaki ke negeri kelahirannya.

Ainun Khumaira mengukir senyuman manis ke arah wanita yang boleh dipanggil nenek. Nenek itu mengangguk. Seorang lelaki melemparkan senyuman kepadanya tatkala mata mereka berdua bertembung. Ainun Khumaira membalasnya dengan rasa ikhlas di hati.

Gatal!!! Guman Ainun Khumaira di dalam hati sebaik saja lelaki itu mengenyitkan mata. Semakin laju dia menolak troli menuju ke pintu ketibaan. Matanya ke kiri dan kanan mencari orang yang akan menjemputnya. Ayahnya awal lagi memberitahu ada mesyuarat penting dan seseorang akan menjemput. Ainun Khumaira mengomel, “Sudah bertahun aku tidak balik pun, ayah tetap sibuk dengan kerja-kerjanya. Nampak sangat aku ni tidak penting .”

Seorang lelaki menghampiri Ainun Khumaira lalu menegur, “Cik Ainun....” Ainun Khumaira memandang pemuda yang lengkap memakai kemeja berwarna putih dan berseluar hitam persis seperti pakaiaan seorang pemandu. Handsome macam ni kerja jadi drebar? Raut wajah lelaki itu memang boleh tahan dan kulit hitam manis. Orang lelaki kalau gelap sedikit menawan juga sekiranya di pandang, asal jangan hitam legam sudahlah.

Pemuda itu tersengih apabila menyedari dirinya sedang diperhatikan.. Gadis itu lebih cantik daripada di dalam gambar yang pernah dilihatnya di atas meja majikannya. Nampak ranggi dengan jaket dan seluar kulit yang dipakai. Dia terpaku melihat anak mata kebiruan milik Ainun Khumaira.

“Cik Ainun, boleh saya tolong?” Lelaki itu bersuara. Ainun tersipu malu apabila disergah. Ketara sangatkah dia memerhatikan lelaki itu? Ainun melarikan pandangan dengan pantas. Bertuah Ainun hari ini kerana ada jejaka tampan membukakan pintu.

“Sudah lama bawa kereta?” soal Ainun mencari-cari ayat yang tidak mengecilkan hati pemandu ayahnya. Dia kagum melihat orang muda yang tidak malu menjadi pemandu. Pertanyaan Ainun dibiarkan saja.

Sunyi seketika Ainun bertanya lagi, “Apa nama?”

“Kamil....”

“Pendeknya nama?” Ucap Ainun tidak percaya.

“Azad Kamil....” Azad Kamil tersenyum.

“Jarang ada orang muda seperti kamu ni bekerja sebagai pemandu.” Ainun memandang cermin hadapan. Dia melihat Azad Kamil tersenyum simpul.

Perkataan ‘orang muda’ yang diucapkan sebentar tadi oleh anak majikannya mencuit hati Azad Kamil. Nasib baiklah raut wajah minah salleh celup kalau muka Melayu asli memang dia ketawa tanpa kawalan. Dia mendongak melihat cermin hadapan dan mata mereka berdua bertembung.

“Itu orang lain cik. Orang macam saya ni sudah memadailah kalau dapat kerja halal. Lagipun saya bukan belajar tinggi macam cik.”

Berbulu telinga Ainun apabila Azad Kamil asyik memanggilnya ‘cik’. Dia pun berkata, “Panggil saja Maira. Mudah, senang dan nama itulah yang orang gunakan memanggil saya.” Ainun Khumaira mengambil cermin mata hitam dari beg tangan lalu memakai. Sinaran matahari yang menerebos masuk membuatkan pandangan mata Ainun Khumaira menjadi silau. Ainun menekapkan tangannya ke pipi dan merasakan bahang panas di pipi.

“Kalau macam tu saya panggil Azad. Kamil macam pelik untuk disebut.” Ucap Ainun Khumaira perlahan tapi masih boleh didengari. Jantung Azad Kamil berdegup kencang apabila mendengar alunan suara Ainun Khumaira yang merdu itu. Apa-apalah Ainun Khumaira hendak panggil namanya. Panggil sayang juga boleh.


**********

Merenung ke luar, Ainun Khumaira terpesona melihat keindahan tempat kelahirannya yang banyak berubah. Sepanjang Jalan Pantai telah dihujani bangunan konkrit yang tumbuh bagaikan cendawan.

Tiba-tiba suara Ainun Khumaira memecah kesunyian,”Cantiknya....”

Mendengarkan suara yang lunak itu Azad Kamil bertanyakan soalan, “Apa yang cantik itu?” Memang cantik pun Ainun Khumaira. Itulah lama sangat berada di luar negara hinggakan perubahan yang berlaku tidak diketahui.

“Sebelah sana tu lagi cantik. Nama tempat tu Anjung Senja dan boleh kalau hendak tengok matahai terbenam. Gerai-gerai makan pun banyak. Ada pisang goreng cheese,” terang Azad Kamil bersungguh.Dia sendiri hairan kerana lancar berkata-kata dengan anak majikannya. Sedangkan selama ini dia amat segan dengan mereka yang bergelar kaum hawa tapi tidak termasuk emak, kakak dan adik perempuannya.

Ainun Khumaira hanya mendengarkan.

“Azad terangkan pun bukan Maira tahu. Ada masa nanti Azad belanja Maira,” katanya girang kerana dia sudah mempunyai seorang kawan yang boleh diajak berbual. Agaknya sudikah Azad Kamil membelanja pisang goreng cheese yang disebut tadi?

Dengan nada yang serius Ainun Khumaira berkata, “Azad,bolehkah bawa Maira ke satu tempat?”

“Boleh. Ke mana?”

“Maktab Sabah.”

Azad Kamil menepuk dahi. Nampaknya dia kena berpatah balik untuk pergi ke tempat Maira hendak pergi. Anak bos terpaksalah dia akur dengan permintaan Ainun Khumaira itu. Azad Kamil menekan minyak menuju ke destinasi seterusnya.

4 comments :

Anonymous said...

maaf btanya, still gna yanko skincare?

Nazrina Hussin said...

tidak lagi menggunakannya.

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

bestla cerita ne..takde sambungan ke?

Info sihat jemput singgah http://otie86.blogspot.com/

 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol