Friday, August 2, 2013

CABARAN CERTOT - PERANG ULAT BULU


-PERANG ULAT BULU-



Halimah  memerhatikan telatah kedua anak daranya sambil menjahit jelujur di hujung lengan baju kurung raya tempahan Cik Ameera .   Zubaidah dan Khadijah ketawa, sekejap bergaduh-gaduh manja dan sekejap pula bertolak-tolak bahu. 
Zubaidah melihat kertas di tangan yang akan dijadikan ‘broucher’ mempromosi biskut yang dijual pada ramadhan akan datang.  Zubaidah tersenyum puas. Dia menepuk-nepuk bahu si adik, lalu berkata “Wah, kau memang hebat dik.  Tengok gambar pun hati tertarik hendak beli biskut ulat bulu kau ini.”
Mendengarkan pujian itu Khadijah tersengih.  Kata Khadijah kepada Zubaidah, “Tengok oranglah.  Lepas ni, adik edarkan risalah ni kepada cikgu-cikgu sekolah.  Kakak jangan malas, nanti kita ronda satu taman, letak risalah ni dalam peti surat.” 
Khadijah memainkan pensil di jari sambil berfikir cara hendak mencari pelanggan.
Sasaran pertama, cikgu-cikgu  dan rakan-rakan sekolah. Kedua rumah-rumah yang berdekatan.   Ketiga , facebook dan blog , merupakan media sosial  yang paling efektif untuk menghebahkan produk dijual.   Dia  juga boleh mempromosi biskut ulat bulu yang comel itu kepada makcik-makcik dan kakak-kakak lepas sembahyang terawih nanti.
“Kakak sudah kira dik.  Kalau jual RM45.00 seratus biji pun untung.  Bolehlah beli sekayu kain warna merah jambu nanti, pakej sekali dengan langsir dan sarung kusyen.”
 Meledak tawa Khadijah mendengar lawak kakaknya.
Zubaidah memandang adiknya, lalu berkata,“Permulaan ni ambil tempahan dua ribu biji. Tahun depan kalau permintaan melebihi daripada penawaran boleh tambah jumlah lagi.  Esok, bolehlah buat biskut untuk pelanggan rasa nanti.”
Khadijah mengangguk.
OOOOOO
Bila mentega bersatu dengan gula dan tepung, kemudiannya dibakar maka terhasil bau yang amat menyelerakan.  Zubaidah tekun membentuk doh berwarna hijau dan membuat garisan.  Khadijah lincah meletak kismis yang dipotong kecil, dijadikan mata.
Zubaidah menguit lengan adiknya, lalu menyoal, “Kenapa emak bising di luar tu?” Khadijah cuma menjungkitkan bahu.  Dia terlalu khusyuk dengan kerjanya sampaikan dia langsung tidak mendengar bunyi bising.
Zubaidah menarik tangan adiknya.  Kedengaran emaknya seperti marahkan seseorang.  Mereka berdua bersembunyi di belakang pintu. Zubaidah dan Khadijah mengintip melihat. 
“Apa yang makcik Timah tu kecohkan, kak?” 
“Entahlah, makcik sebelah rumah ni”
Halimah menyinsing baju di lengannya ke siku.  Mukanya memang merona merah.  Dia masih boleh bersabar mendengar kata-kata kasar perempuan itu.
Sudah penat bertegang urat, Halimah berkata,“ Sampai hati kak Timah, menuduh anak saya menabur pasir di periuk nasi kakak.  Sudahlah kak Timah. Bulan puasa ni kak, nanti pahala puasa kakak tu percuma saya yang dapat.  Rezeki masing-masing ditentukan oleh-Nya”
Timah bercekak pinggang kerana tidak puas hati.  Katanya kepada Halimah, “Kau beritahu anak-anak perempuan kau tu, cukup-cukuplah ambil tempahan.  Ingat, tahu!”
OOOOOO
Berat hendak menuturkan perkataan azimat itu.  Namun di hari baik, bulan baik ini dia ingin membuka lembaran baru.  Timah menghulurkan tangan, lalu berkata, “Limah, aku datang ni hendak minta maaf dengan kau.  Minta maaf juga dengan anak-anak kau.”
“Aku maafkan...” Balas Halimah seraya menyambut huluran.
Serentak Zubaidah dan Khadijah berkata, “Kami pun maafkan.”
“Tapi makcik Timah kenalah rasa biskut ulat bulu kami.” Khadijah mempelawa. 
“Sedap kuih ni.  Patutlah ramai yang tempah daripada Zubaidah dan Khadijah.  Ada rasa lain tapi memang sedap.” Puji Timah ikhlas.
‘Memang ada rasa lain.  Ulat bulu kami, menggunakan tepung ros. Itulah resepi yang diubahsuai oleh emak.  Emak memang yang terbaik.  Terima kasih emak’ Hati Zubaidah berbisik riang.


Gambar di atas - biskut ulat bulu lupa letak mata










 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol