Wednesday, December 2, 2015

RINDUKU BERBISIK -[BAB 3]-


-BAB 3-

“Maira... Maira....” Ainun Khumaira mengeliat. Itu suara ayah.

“Biarlah dia berehat. Agaknya dia keletihan tu,” kedengaran suara ibu tirinya. Maira bingkas membuka pintu.

“Maira....” Datuk Azri memeluk anaknya. Sudah lama dia tidak memanggil nama itu. Sungguh dia amat merindui anak yang satu ini.
Ainun Khumaira membatukan diri.

Pelukan ayahnya tidak dibalas. Sebuah ciuman hinggap di pipi.

“Mari makan. Adik-adik menunggu....” Datuk Azri menarik lembut tangan Ainun Khumaira. Namun Ainun Khumaira terus berdiri tegak.

“Maira belum mandi lagi. Sekejap lagi Maira turunlah. Makan dululah jangan tunggu Maira.” Ucap Ainun Khumaira. Dia masih mengantuk.


Jet Lag

“Biarkanlah dia mandi dulu, bang. Kita tunggu dia di bawah sajalah. Marilah dulu Maira. Kami akan tunggu Maira, kita semua makan sama-sama. Hari pertama Maira sampai sudah tentu kita sekeluarga patut makan bersama-sama,” Datin Suhaidah menyampuk.

“Terimah kasih aunty,” balasnya.

Datin Shuhaidah tidak hairan dengan panggilan anak tirinya itu. Dia tahu Maira tidak akan menganggap, dia seperti emak kandung. Dia melepaskan keluhan. Datuk Azri memandang. Kemudian dia membalas pandangan si suami lalu menggeleng.

Suasana makan malam berjalan dalam keadaan senyap. Ainun Khumaira hanya mendiamkan diri dan menyuap makanan. Dia tidak tahu hendak memulakan bicara. Dia menyedari beberapa mata sedang memerhatikannya.

“Tambah lagi kak...” Suraya menghulurkan mangkuk berisi nasi. Maira menolak dengan sopan. Menjadi kebiasaan dia tidak makan selepas pukul lapan malam, dia sudah terbiasa dengan Grandpa dan Grandma yang makan salad atau whipped potato dan segelas air untuk alas perut. Sebelum tidur pula dia minum segelas susu.

“Kenyang... selalunya Kak Maira tidak akan makan berat selepas pukul lapan malam,” terangnya memberitahu.

Datin Shuhaidah cuma mendengar. Mahu pula gadis itu berbual dengan Suraya.

“Su tingkatan berapa sekarang ni?” soal Ainun Khumaira ramah dengan anak ayahnya yang sulung itu. Mereka bukan adik-beradik kandung dan dia belum dapat menerima kehadiran mereka bertiga. Dia tidaklah kejam sangat untuk tidak mengingati nama mereka.

Setiap kali Datuk Azri menghubungi Ainun Khumaira pasti dia akan bercerita mengenai mereka bertiga. Sebagai seorang anak berada jauh di mata, dia hanya setia mendengar.

“Kak Maira balik ni tidak bawa buah tangan untuk kamikah?” pintas Suhaila tanpa segan-silu. Gadis itu mengaduh apabila dicubit oleh kakaknya.

“Lepas makan nanti....”

“Su tingkatan dua, Ila darjah enam dan Ari darjah lima,” Suraya memberitahu. Dia tidak berkelip walau sekalipun melihat mahkluk ciptaan-Nya yang sangat cantik sekali. Kulit halus mulus dan gebu. Siapa sangka dia mempunyai seorang kakak berdarah Irish.

“Belajar rajin-rajin. Belajar memang sangat seronok. Kalau ada rezeki Kak Maira pun hendak belajar lagi. Lama tinggal di luar negara menjadikan lebih berdikari,” kata Ainun Khumaira dengan penuh yakin. Ya, itulah menyebabkan dia menjadi seorang kuat. Dia tidak berharap dengan ayahnya.
Suraya terpegun mendengar lunak dan gemersik ketika Ainun Khumaira berbicara.

“Maira tidak perlu belajar lagi. Maira boleh bantu ayah menguruskan perniagaan,” sela Datuk Azri menyedari sedari tadi anak gadis itu tidak berminat untuk berbual dengannya. Dia memandang Ainun Khumaira yang lebih mirip kepada Ainnur.

Ainun Khumaira mendiamkan diri dan tidak menoleh ke arah ayahnya ketika bercakap. Dia masih belum sedia hendak bekerja. Buat masa ini dia hendak melepak di rumah. Kerinduan terhadap kenangan bersama arwah emaknya belum pun bermula. Dia ingin mengenang kembali saat-saat itu.

Bagaikan tahu apa bergolak di hati Ainun Khumaira, Datuk Azri lalu berkata, “Kalau bukan Maira siapa lagi hendak membantu ayah? Adik-adik masih kecil lagi” Ucap Datuk Azri sedikit keras. Dia memandang Ainun Khumaira menunduk.

Datuk Azri menarik nafas, terjaga daripada kesilapanny. Dia tidak patut memaksa anaknya itu. Semakin dia berkeras dengan Ainun Khumaira, semakin gadis itu menjauh. Dia tidak mahu menimbulkan bunga-bunga pertengkaran.

“Sekiranya hendak ke mana-mana Maira bagitaulah kepada Azad Kamil.” Dia menukar topik perbualan.

Azad Kamil! Ainun Khumaira tersenyum apabila nama itu disebut. Siap kau!!! Semakin melebar senyumannya.

**********

“Azad... apa Azad buat seorang diri duduk di sini?” Ainun Khumaira menghampiri Azad Kamil di Taman Inderaloka terletak di banglo mewah itu. Nama pilihan arwah emak Ainun Khumaira. Nampak saja mama wanita moden tapi amat menyukai nama-nama klasik. Landskap rumah itu sudah berubah dan sangat menarik diperindah dengan konsep ala bali.

“Ainun buat saya terkejut. Apahal keluar ni? Nanti Datuk nampak, kurang elok,” dia memandang Ainun Khumaira melabuhkan duduk di hadapan. Ainun Khumaira tersengih. Ish... Datuk lagi, macam tiada perkataan lain untuk disebut. Tahulah itu majikannya.

“Tidak dapat tidur, perubahan masa agaknya. Ingatkan hendak melepak seorang diri di sini tapi ada orang lebih awal. Suasana rumah ini sudah banyak berubah. Hiasan taman pun sudah lain sekali. Nampak sangat citarasa Datuk Azri seratus peratus sudah berubah.” Ainun Khumaira mengetap bibir sambil memerhatikan di sekitar taman tanpa menyedari Azad Kamil merenung. Perkataan ‘datuk’ disebut oleh Ainun Khumaira membuatkan dia sedikit hairan. Kenapa bukan ‘ayah’ perkataan harus diucapkan oleh seorang anak.

Rasa hairan itu membuatkan Azad Kamil bertanya, “Apa salahnya dengan citarasa Datuk?” Ayat dan nada suara gadis itu menyakinkan dia bahawa perubahan rumah itu tidak disenangi.

Ainun Khumaira tersenyum.

“Tidak ada salah dengan citarasanya. Malah lebih cantik rumah ini daripada dahulu. Cuma rasa sedikit terkejut melihat rumah ini. Sungguh cantik.” Balas Ainun Khumaira laju. Nasib baiklah dia pantas memberikan jawapan. Dia tidak mahu Azad Kamil dapat menghidu jurang yang tercipta di antara dia dan ayahnya.
Kelihatan Azad Kamil puas hati dengan jawapan itu.

“Ainun, terima kasih atas pemberian ini,” Azad Kamil menarik baju t.shirt sedang dipakai itu. Terkejut bukan kepalang apabila melihat Suhaila dan Hazri mengetuk bilik dan menyampaikan pemberian Ainun Khumaira.

“Pemberian ikhlas dan terima kasih kerana Azad menerima.”

Diam seketika. Memikirkan topik hendak dibicarakan.

“Ainun balik ke sini mesti kekasih di sana meraung menangis.” Azad Kamil berlucu. Gadis secantik Ainun Khumaira mustahil tiada peminat. Senarai nama kekasih agaknya penuh dua muka surat kertas Size A4.

“Maira ke sana hendak belajar dan juga mencari ketenangan hidup. Bukannya hendak cari teman lelaki....”

Kening Azad Kamil berkerut. Semakin dia pelik dengan ayat-ayat yang keluar dari mulut gadis itu lalu dia bertanya, “Apa selama di sini Ainun tidak pernah menikmati ketenangan?”

Ainun Khumaira tersenyum manis menampakkan barisan gigi putih. Soalan lelaki itu tidak perlu dijawab. Siapalah Azad Kamil yang dikenalinya baru sehari? Terlalu awal untuk bercerita dengan lelaki belum diketahui hati dan budi.

“Lupakan saja.” Ainun Khumaira belum bersedia untuk berkongsi cerita dengan Azad Kamil. Biarlah dia simpan di dalam hati. Hanya dengan orang yang dipercayainya dia berkongsi.

Mengingatkan soalan Azad Kamil belum dijawap lalu dia berkata, “Kawan Maira memang ramai di sana tapi soal jodoh adalah ketentuan-Nya. Di sana Maira berkawan dengan rakan-rakan dari Malaysia. Malah Grandma selalu menasihatkan agar tidak lupa dengan asal-usul sendiri.”

“Eloklah macam tu. Saya tahu Ainun ni baik hati dan mempunyai keyakinan tinggi terhadap diri sendiri.” Pujinya ikhlas.

Ainun Khumaira kembang kempis dengan pujian diberi. Baru beberapa jam dia kenal Azad Kamil tapi dia boleh menganalisa keperibadiannya. Gembira dengan pujian diberikan dia berkata, “Sampai begitu sekali pandangan Azad kepada Maira. Jangan sampai salah menilai orang nanti menyesal. Maira ni biasa-biasa saja Azad, tiada keistimewaan untuk dibanggakan.”

“Maira selalu ingat pesanan arwah mama. Mesti jaga diri baik-baik. Walaupun setiap pada dahulunya pesanan mama itu sukar untuk difahami tapi bila sudah besar panjang ni, barulah Maira tahu akan kebaikan nasihat mama itu.” Oh, dia terlalu rindukan arwah mamanya.

Azad Kamil mendengarkan setiap butir kata Ainun Khumaira. Tutur kata perempuan itu seperti ada sesuatu tersembunyi. Seakan gadis itu kosong tanpa kasih sayang daripada seorang bergelar mama. Lagipun siang tadi, dia dapat melihat hubungan tidak mesra Ainun Khumaira dengan Datin Shuhaidah.

“Bosanlah Azad... mari kita bersiar-siar ambil angin malam,” kata Maira apabila dilanda kebosanan. Jika dia masuk ke dalam rumah, sudah tentu dia akan bertembung dengan Datuk Azri yang masih berada di ruang tamu. Mereka sekeluarga sedang menonton televisyen. Ainun Khumaira masih belum bersedia untuk berada di kalangan mereka semua.

Azad Kamil geleng. Dia tidak mahu ambil risiko untuk diberhentikan kerja oleh majikannya. Sudah tentu Datuk Azri marah jika dia membawa anak daranya keluar lewat malam. Dia berkata, “Sudah pukul sepuluh setengah malam ni Maira. Nahas kalau Datuk tahu.”

“Azad, bukannya kita buat apa-apa pun. Cuma hendak bersiar-siar pun. Kalau kena marah, biar Maira jawap. Jangan takutlah. Marilah Azad....”

Azad Kamil berfikir sejenak akan permintaan Ainun Khumaira itu.

“Mata Maira belum mahu mengantuk lagi ni.” Pujuknya.

Kalah dengan pujukan manja Ainun Khumaira lalu dia berkata, “Sekejap, Ainun tunggu dekat kereta. Saya ambil kunci.”

Ainun Khumaira melonjak kegembiraan. Macam budak-budak lagaknya. Azad Kamil mengeleng melihat telatah gadis itu. Sebentar tadi bukan main nampak matang tapi sekarang ni sama taraf dengan budak tadika. Azad Kamil mula keliru dengan sikap Ainun Khumaira berubah-ubah ini.

No comments :

 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol