Friday, November 20, 2009

Cerpen 3~Setia Pada Yang Satu

Resah, bingung dan jadi tidak menentu fikiranku jadinya. Bagaimana hendak aku menyelesaikan masalah yang sebegini besar? Sudah sedari awal lagi aku mengatakan yang aku belum bersedia untuk bercinta. Aku tidak berminat sama sekali untuk terjebak ke alam percintaan. Aku masih mentah lagi, lagipun aku masih muda belia lagi. Sekarang baru padan muka engkau, siapa suruh engkau jatuh cinta pada aku? Minta maaf, aku bukan orang yang cair dek mendengar pujuk rayu dan tutur kata yanbg indah-indah. Tidak kuasa aku! Itu masalah engkau aku tidak tahu menahu. Peduli apa aku! Aku tidak pernah meluahkan bahawa aku pun sayang atau jatuh cinta pada engkau. Kalau kau hendak menanti, nantilah. Telah pun diberitahu siang-siang lagi tapi tidak juga faham-faham. Siapa yang rugi. diri sendiri juga yang tersiksa jiwa.

Penyakit apa yang datang menyerang diriku ini? Tidak pernah aku mengutuk orang sebegini hebat. Berdosa besar aku. Sukarnya untuk membuat penyelesaiannya. Peduli! Biarkanlah dia ternantikan aku. Alahai! Jika aku berada di alam persekolahan alangkah indahnya. Pastinya aku tidaklah merasa segelisah dan segusar ini. Wahai, teman-teman aku dilanda kesusahan, di saat ini aku memerlukan kalian. Di manakah kalian berada? Mereka bertigalah teman ketawa dan menangis bersama. Amat sukar mencari sahabat yang sebaik itu. Jika aku dilanda masalah merekalah tempat aku mengadu. Sayangnya kami berada di negeri yang berbeza.

*****
Peperiksaan SRP hanya tinggal beberapa hari lagi. Malam itu adalah malam terakhir aku dan teman-teman tuisyen matematik. Malam itu seperti biasa kami belajar tetapi setelah Cikgu Mad keluar hendak melawat isterinya di hospital kami mula membuat bising. Winnie memasang HiFi yang terletak tidak jauh dari kami. Sofia tergelak-gelak ketika menonton TV. Lucu agaknya kalau tidak masakan dia ketawa sendiri. Cikgu tiada kamilah raja. Rumah orang pun seperti sendiri. Konon-kononnya kamilah permaisuri rumah itu. Alah! bukannya selalu baru inilah kali pertama.

"Hey, tadi aku ternampak budak barulah. Handsome!" Winnie memulakan perbualan. Dia mengenyitkan matanya ke arahku. Di antara kami semua dialah yang nakal.

"Aku tidak tahu," sahut Ann.

"Engkau tu katak bawah tempurung," ejek Winnie.

"Aku tahu sebab jejaka itu tersalah masuk kelas. Bapanya pun ada," aku memberitahu.

"Anak panglima. Smartlah bapanya pakai pakaiaan seragam tu," sampuk Rozah yang kebetulan sekelas denganku.

"Wow! Anak panglima. Dia tu sudah berpunyakah?" tanya Winnie nakal.

"Asyik hendak mengurat anak orang saja tapi satu pun tidak mengena. Mengurat pun kena tengok orangnya juga,"nasihat Ann. Sudah bosan dia mendengar topik perbincangan teman-temannya itu.

"Kalau tidak suka dengar sajalah. Kalau katak tu katak juga," sindir Winnie. Memang perempuan seorang ini celupar kalau hendak bercakap hendak cirect saja tidaklah hendak berlapik-lapik lagi.

"Kelas mana!" soalku ingin tahu.

"Kelas empat perdaganganlah!" Sofia memberitahu. Ingatkan dia tidak mendengar apa yang kami bualkan. Rupa-rupanya pasang telinga juga anak itu.

"Sekelas dengan sepupu kau Ann," Rozah terpekik kerana bukunya diambil oleh Winnie. Winnie hendak meniru jawapan dari bukunya. Rozah mengelengkan kepalanya melihat telatah temannya itu.

"Salah jawapan kau ni. Macamana hendak lulus ni kalau yang senang ini pun kau tidak tahu buat. Ann, kau tolonglah korek-korekkan rahsia tentang jejaka itu daripada sepupu kau. Bila dia diberanakkan ke dunia ini, nombor phonennya dan berasal dari mana. Kalau kau tolong aku, kaulah temanku dunia dan akhirat. Tolonglah!," Winnie memeluk bahu Ann dengan gaya manjanya.

"Baiklah!" Sahut Ann bagaikan hendak tergelak melihat gaya Winnie tersebut. Dia tidak pernah ambil hati dengan itu semua.

"Alahai! Tiada faedahnya kita hendak berkenalan dengan budak tu. Temberanglah!" kataku. Angin tiada ribut tiada tapi puting beliung yang melanda.

"Tiba-tiba kau marahkan dia ni kenapa? Insan tu tiada pun cari dosa pada kau. Sudah buang tebiat agaknya kau ni. Jangan-jangan engkau jatuh hati pada dia. Kalau engkau sukakan dia cakap awal-awal sebelum aku yang dapat," kata Ann sengaja hendak menduga hati temannya itu.

"Yak....puii,kursemangat...minta maaflah saudari-saudari sekalian. Aku tidak teringin hendak berkenalan dengannya. Tidak tergamak aku menjadikan dia boyfriend aku," kataku takbur.

"Jangan takbur sangat Lia. Manalah tahu satu hari nanti engkau tergilakannya kalau engkau bertepuk sebelah tangan meranalah diri. Nanti diserang sakit pula kau," Dahlia adalah nama sebenarku dan Lia adalah panggilan nama manjaku. Glamour bukan namaku itu.

"Never...," aku tidak mahu kalah.

"Just wait and see. Mudah-mudahan mulut aku main." Ego benar anak seorang ini. Aku minta satu hari nanti kau syok sangat pada anak panglima itu, detik hati Winnie.

"Sudahlah tu. Cikgu sudah nak pulang tapi latihan belum siap lagi. Kalau kau pandai kau buatlah semua latihan ini. Tadi kau cakap jawapan aku salah," Rozah memulangkan paku buah keras kepada Winnie. Winnie buat-buat tidak dengar saja.

"Jangan risaulah kita tiru jawapan dari buku cikgu itu. Aku tahu dia ambil soalan dari situ," Winnie menudingkan jarinya ke arah buku yang terletak di atas almari rumah itu. Bukan sekali dia melakukan perkara seperti itu malah telah berkali-kali. Cikgu pun tidak pernah berasa syak. Pantas tangan Winnie mencapai buku itu. Rakan-rakan pun turut serta menyalin.

*****
Dengan perasaan yang berkobar-kobar aku ke sekolah. Almaklumlah aku telah lulus dengan cemerlang begitu juga dengan teman-teman seperjuangan yang lain tapi malangnya Winnie telah berpindah ke Kuala Lumpur. Aku dan Ann ditempat di kelas aliran sastera walaupun kami berdua berkelayakkan masuk ke aliran sains tapi aku dan Ann lebih berminat dengan cerpen, drama dan puisi. Kami berdua berjiwa seni. Manalah tahu bakal pengganti Adibah Amin.

Rakan-rakan yang baru ini nakal-nakal kesemuanya. Oleh itu kelas kami terkenal berbanding dengan kelas-kelas yang lain dengan nama 'kelas nakal'. Aku dan Ann adalah salah seorangnya. Terpaksalah kami berdua dipisahkan daripada duduk bersama tapi tidaklah sejauh yang disangkakan. Ann dan teman barunya bernama Eanna itu duduk dihadapanku. Manakala aku pula duduk bersama teman baru yang bernama Zie. Eanna dan Zie merupakan pelajar baru sekolah ini.

"Okey kelas, sekarang buka buku muka surat dua," kata Puan Puan Gopal guru kelas kami.

"Buku yang mana satu cikgu?," tanya satu suara di hujung sana. Sengaja tu.

"Kelmarin sudah belajar Geografi Kemanusiaan. Hari ini fizikal," kata Puan Gopal.

"Kamu ada bawa buku?" tanyaku kepada jiran baruku itu.

"Ada!" Apalah budak ni, mentang-mentang aku budak baru di sekolah ini dia boleh buat apa yang dia suka, Dia belum kenal manusia bernama Zie ni. Adakah patut buku tidak dibawa. Sia-sia saja kerajaan memberikan bantuan buku, detik hati Zie.

Ann yang mendengar kata-kata temannyua itu hanya mampu tersenyum sendiri. Kalau sudah tabiat memang sebegitu tidak mungkin akan hilang. Ann melirik memandang temannya yang duduk di sebelahnya. Macam hindustan pulak main jeling-jeling. Nampak macam alim, pendiam dan ayu serta pemalu orangya. Sepatah di tanya sepatahlah yang dijawab.

"Kelas mengapa bising sangat? Kalau hendak berniaga pergilah ke pasar," pelbagai karenah yang dilihat oleh cikgu itu. Penat saja dia terpekik dari tadi. Tiada seorang murid pun mendengar akan kata-katanya itu. Kasihan! memang malanglah nasib cikgu yang mengajar kelas kami dengan wajah yang masam dia meninggalkan kelas kami. Sepeninggalannya kelas yang tadi bising, bertambahlah lagi bisingnya.

"Kamu sekolah agamakan? Kenal dengan Nazrin?" soal Ann.

"Jadi kamu inilah gilfriendnya," sahut Eanna spontan. Baik juga IQ perempuan seorang ni, belum lagi hendak menjelaskan dengan selebar-lebarnya dia sudah tahu. Eanna mencubit pipi Ann yang halus bak sutera itu.

"Ex-girlfriend," ucap Ann menjelaskan kedudukan yang sebenar. Amboi! Beraninya perempuan seorang ini mencubit-cubit orang. Baru dua saat berkenalan tapi peramahnya bukan main lagi.

"Lia,nama anak panglima tu Azman dan berasal dari Kelantan," kata Ann sebaik saja terlihat akelibat lelaki itu di depan kelas.

"Peduli apa aku dengan namanya itu," sahutku dengan jelingan. Jelingan yang ada tafsiran tersendiri dan hanya aku seorang yang memahaminya.

"Kalau engkau hendak nombor telefonnya aku boleh berikan. Janganlah engkau berpura-pura," Ann mengiat temannya itu.

Tahun ini merupakan tahun HONEYMOON bagi kami seisi kelas. Almaklum sajalah SRP sudah ditempuhi dengan segala usaha dan kepayahan. Tahun depan barulah kami belajar berhempas-pulas lagi. Baik pelajar perempuannya atau pun lelaki tidak pernah menumpukan pelajaran yang sepenuhnya ketika cikgu mengajar di hadapan. Bukannya berbincang tapi hanyalah sekadar cerita kampung atau mengingati nostalgia masa lampau. Pendek kata, kelas kamilah yang mempunyai reputasi yang buruk jika dibandingkan kelas yang lain. Cikgu Bahasa Melayu kami telah bertukar tiga kali kerana tidak sanggup melihat perangai kami yang sama seperti budak tadika.

Bagi hero-hero kelas kami,masuk ke bilik pengetua adalah perkara biasa. Hobilah katakan. Kalau lelaki ada geng tersendiri jadi apa salahnya kalau yang perempuan ada kuncu-kuncunya. Aku, Ann, Eanna dan Zie adalah orang yang terkenal di sekolah kami. Ramah, berkarisma dan suka menyakat orang. Apa yang menyebabkan kami terkenal di kalangan guru-guru adalah kerana kerajinan kami menjadi penyokong bola sepak. Kalau kami tidak datang pastinya pasukan sekolah akan kalah. Begitulah kami sebagai pelajar sekolah ini.

Di antara kami bertiga. Eannalah yang amat meminati permainan itu. Dia terkenal dengan nama 'tukang sorak' di sekolah kami. Siapa yang melihatnya terkejut melihat seorang gadis yang bertudung terjerit-jerit memberikan sokongan ketika pemain sedang beraksi di padang. Hidup Eanna!

"Ann, aku ada hal yang hendak diberitahu kepada kau," kataku.

"Cakaplah!" Balas Ann. Selagi aku tidak meluahkan apa yang terbuku di hati. Hati tidak akan tenteram jika tidak diluahkan. Harap-haraplah temannya itu tidak sawan mendengarnya.

"Kami!" Eanna dan Zie menyibuk.

"Aku malulah...," balasku malu-malu kucing.

"Apalah yang kau hendak malukan? Manalah tahu kami boleh menyumbangkan tenaga atau khidmat nasihat," jawab Eanna. Kalau ada masalah yang datang menimpa apa salahnya kalau teman yang cuba membantu, detik hati Zie. Menjadi sahabat biarlah teman menangis dan ketawa bersama.

"Aku jatuh hati dengan anak panglima itulah Ann," aku mengaku dengan hati yang tulus ikhlas dan tenang. Serentak dengan itu Ann ketawa terkekeh-kekeh mendengar pengakuan sahabatnya itu. Celaka punya kawan! Memang inilah yang telah diduganya sedari awal tadi. Engkau ketawakan aku pula! Eanna dan Zie melihat temannya yang ketawa secara tiba-tiba itu pun berasa hairan. Gilakah anak seorang ini?

"Kalau Winnie tahu pastinya dia ketawa terguling-guling. Dulu tersangatlah takbur. Never konon. Sekarang baru padan muka engkau tapi walau bagaimanapun aku mengucapkan selamat berjuang," perli Ann mengenakan aku.

"Engkau hinalah aku, kutuklah aku," aku memandang wajah Ann. Menyesal aku beritahu pada perempuan ini. Menyesal aku! Tidak boleh diharap langsung.

"Kalau kau hendak sangat aku boleh tolong contact Azman tu untuk kau," ucap Zie.

"Jangalah pula kamu memandai-mandai. Pantang keturunan aku mengejar lelaki. Aku gadis pemalu manalah aku berani," kataku pura-pura marah.

"Kau ni sangatlah penakutnya. Sekarang ini zaman moden, apa salahnya kalau perempuan yang mengatur strategi terlebih dahulu. Apa salahkah? Kena tangkap poliskah kalau perempuan yang mengurat?" Itulah falsafah Eanna. Ann hanya mendiamkan diri apabila mendengar kata-kata temannya itu. Dia tidak berapa berminat untuk bercakap pasal lelaki. Belum lagi sampai seruannya untuk dia bercinta lagi.

*****
Hari demi berlalu aku cuma mengikutinya dari jauh. Segala perkembangannya hanya didengar tanpa banyak bicara. Yelah siapalaj diriku ini hanyalah sekadar gagak di zoo tapi sejak akhir-akhir ini ingatanku terhadapnya semakin kuat. Surat sudah dilayangkan, salam sayang sudah dikirimkan tapi tiada balasan. Hampa aku! Khabar angin ada mengatakan dia telah mempunyai teman istemewa di tempat kelahirannya. Apalah malangnya nasibku ini? Entahkan sudi entahkan tidak aku seorang saja yang ternanti-nanti. Mengharapkan bulan jatuh ke riba. Ewah! berkias-kias pula aku. Janganlah sampai gila aku khendaknya.

"Kenapa dengan kau ni Zie?" tanyaku kepadanya. Dia tidak seceria seperti selalu, dari wajahnya yang suram itu menjelaskan dia dilanda masalah.

"Boyfriend aku...," dia tidak dapat menahan perasaan hibanya.

"Mengapa dengan boyfriend kau?" sampuk Eanna yang secara tidak sengaja terdengar perbualan kedua orang temannya itu.

"Sahabat aku kebas boyfriend aku," terangnya disulami dengan sedu-sedan yang kecil. Kalau jantan itu ada di hadapannya di saat itu mahu saja dicekiknya.

"Lupakan saja dia tu. Malaysia yang indah dan permai ini masih lagi ada terdapat ramai pemuda yang tampan dan segak bergaya. Biarlah boyfriend kau yang tolol itu dengan duniannya sendiri. Engkau pun tolol kalau menangis kerana lelaki yang tidak setia itu," nasihat Ann.

"Lelaki tetap lelaki kalau sudah naga memang naga jua. Begitu senang dia hendak memperkotak-katikkan aku. Lihatlah nanti pasti dia menyesal seumur hidup,"katanya marah teramat sangat.

*****
14 Februari atau dikenali dengan hari 'Berkasih Sayang' adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta. Bagiku tarikh itu sama dengan hari-hari biasa. Tiada apa-apa rancangan pada hari tersebut.

"Lia!" panggil Norizan.

"Ada apa?" sahutku kasar sedikit. Orang asyik melayan perasaan dia pula yang mengacau.

"Ada orang hendak jumpa engkau di luar," katanya. Serentak dengan itu Ann, Eanna dan Zie memandang tajam tepat ke arah mataku. Kelihatan seorang lelaki yang tidak dikenali berada di luar sana. Alangkah indahnya dan bahagia kalau Azman yang berada di luar itu. Datang dengan sejambak bunga di tangan.

"Nampaknya aku seorang saja yang tiada date hari ni," kata Ann berlucu. Entah jejaka malang mana yang ingin berjumpa dengan aku hari ini tapi tidak mengapalah sekurang-kurangnya aku ada peminat.

"Saya hendak berikan kad ini kepada saudari," katanya lalu pergi. Terkebil-kebil mataku melihat dia pergi. Sepatah perkataan pun tidak sempat keluar dari mulutku yang comel ini. Tergaman aku dibuatnya.

Entah, aku sendiri tidak mengenali pemuda itu. Belum pun sempat aku membuka kad tersebut Zie telah merampasnya terlebih dahulu. Apalah mereka ni, tuan punya kad belum pun sempat membaca tapi mereka bertiga datang menyerbu. Riuh-rendah dengan gelak-tawa oleh kami berempat.

"Nampaknya aku seolah yang belajar hari ini. Semua pun dengan boyfriend masing-masing. Tinggallah aku seorang," kata Ann tiba-tiba. Kasihan! Begitulah nasib orang yang suka memilih.

"Jangan kau hendak mengada-gada. Kita sudah berjanji hendak ke library petang ni," sahutku menghidar daripada terus digosip oleh mereka. Main tetap main tapi belajar jangan dilupa kerana esok ada ujian Sejarah. Siapa gagal didenda. Menggerunkan juga bunyinya, ingatkan budak darjah satu saja yang didenda tapi kami yang sudaj tua ni pun kena juga.

"Esok kami berdua tiru kamu berdua. Kamu belajarlah dengan tekun untuk hari esok," kata Eanna. Tiru-meniru telah menjadi lumrah di kelas kami. Awas! Jangan sampai diketahui oleh cikgu. Pandai makan pandailah simpan.

Petang itu aku dan Ann pergi belajar di library seperti yang telah dijanjikan. Suasana pada petang itu tenang jika dibandingkan dengan suasana kelas kami yang sentiasa seperti pasar ikan. Tidak ramai yang datang belajar hari tu.

"Belajar?" sapa satu suara.

"Alamak!" Gugur jantung aku ketika itu. Ann, tolonglah aku terasa longlai kakiku ketika itu. Hendak tahu siapa di hadapanku ketika itu. Azman! Dengan senyuman semanis gula sedang berdiri di hadapanku tika ini.

"aku pergi ke tandas sekejap," Ann bersiap sedia hendak meninggalkan temannya itu. Lia memandang ke arah Ann yang tersengih. Janganlah tinggalkan aku seorang. Nanti ada gosip liar yang melanda.

"Kau temankanlah aku..." Aku berbisik pada Ann namun tidak dipedulikannya. Mengelabah aku dibuatnya. Apa hajatnya berjumpa aku?

"Sebenarnya saya ada hal hendak beritahu pada Lia. Bukan saya tidak suka pada kamu tapi biarlah kita berkawan saja. Saya tahu Lia baik tapi sekarang ni saya hendak belajar dulu," itulah pengakuan yang memalukan, yang pernah aku dengar. Sungguh memalukan! Dimanakah hendak aku letak muka aku yang lawa dan cute ini. Sudah jelas memang dia tidak sukakan aku.

"Saya harap Lia faham,"entah dari mana dia tahu nama glamour aku itu. Popular rupanya aku di sekolah ini.

"Sabarlah Lia bukan jodoh kau dengannya. Kita masih muda lagi dan perjalanan masih jauh lagi. Banyak pilihan! Jadikan ini sebagai satu pengajaran. Hati orang kalau tidak suka, kau tidak boleh memaksa. Kau harus faham itu. Jangalah asyik mengingatinya. Lupakan semua itu, buang masa mengingati orang yang tidak suka pada kau tu...," nasihat Ann itu menyejukkan hatiku. Aku bernasib baik kerana ada orang sudi berkongsi masalah yang sedang aku hadapi ini.

Calar-balar hatiku setelah mendengar penjelasan anak panglima tadi. Tergamak dia berkata demikian kepada aku. Tergamak dia berkata demikian kepada aku. Selama ini apa yang aku mahu mesti dapat dan semuanya pasti dapat. Hanya lelaki seorang ini sajalah yang berani menghampakan hatiku. Berani dia! Mentang-mentanglah tersenarai dalam carta sepuluh lelaki yang handsome di sekolah ini.

*****
Dua hari aku tidak ke sekolah. Cuti istemewa daripada diriku sendiri. Entah mengapa hati ini berat untuk melangkahkan kaki ke sekolah. Kecewakah aku? Tidak! Aku tidak kecewa. Aku hanya sekadar hendak menenangkan fikiran yang sedang berserabut. Aku tidak menyedari air mataku mengalir. Memang, memang aku kecewa dan rasanya bagaikan hendak demam panas.

"Kau tahu Azman bergaduh dengan lelaki yang memberi kau kad tempoh hari. Gaduh pasal kau lah Lia," kata Eanna memberitahu sebaik saja aku melabuhkan punggung di kerusi. Kalau sudah berempat berjumpa pasti ada saja cerita yang hendak dibualkan. Pagi-pagi sudah ada 'radio non stop'.

"Sebabnya?" Aku bertanya. Seronok juga kalau ada yang bergaduh kerana aku.

"Apa nama lelaki itu Zie? Aku lupalah," tanya Eanna.

"Wahid, dia ada datang ke kelas mencari kau. Kami cakap kau tidak ada di sekolah ni lagi, sudah pindah. Dia pun tanyalah apa sebabnya. Kami pun cakap yang kau kecewa sebab Azman tu tolak cinta kau. Kami main-main tapi dia betul-betul dan teruslah bertumbuk dengan si Azman tu. Kau marah kamikah?" tanya Zie kalau kerana tidak terlepas cakap tentunya tidak berlaku.

"Buat apa aku hendak marah. Malah seronok kerana ada orang bergaduh untuk aku." Aku memandang Zie menanti cerita selanjutnya daripadanya.

"Dia pun ke kelas Azman dan bertumbuk macam pelakon Hindi dalam filem. Apa lagi dua-dua lepas tu mengadap pengetua. Bertuahlah kau ada orang yang sanggup berkelahi kerana kau," Eanna menyudahkan cerita Zie yang belum habis itu

"Buat malu aku saja budak tu. Patut pun ramai yang berbisik-bisik sebaik saja aku sampai ke kelas tadi. Mengalahkan artis lagi aku ni," katanya kesal dengan tindakan yang di ambil oleh Wahid itu.

"Kau hendak tahu cerita Lia? Kelmarin si Azman tu terlanggar minuman aku di kantin. Kesian, habis bajunya basah. Sudahlah lebam di mata, baju pun habis basah," kata Ann disusuli dengan ketawa kecil.

"Bukan terlanggar tapi dilanggar. Siapa suruh mengecewakan anak orang," Zie memberitahu. Aku terkejut dengan kenyataan temanku itu. Janganlah diapa-apakan anak itu oleh mereka bertiga.

*****
Dua bulan telah berlalu dan apa yang aku dengar Azman telah berpindah ke tempat lain. Dia balik ke negeri kelahirannya. Kata orang walaupun jauh dari pandangan mata namun di hati tetap diingati. Agaknya cinta sejati? Mungkin tidak zaman remaja percintaan lebih dikenali dengan cinta monyet.

"Maafkan aku Wahid kerana tidak dapat menerima kau. Kita berkawan sajalah. Lupakan hajat kau yang inginkan aku menjadi 'special girlfriend' kau itu. Aku tidak boleh menerima kau." Aku telah menjelaskan dengan bahasa yang senang difahami. Lainlah kalau aku bersajak, berpantun-pantun ataupun berkias-kias, tentulah dia tidak faham. Sekiranya dia tidak paham itu dia punya pasal.

"Kau sebut nama dia lagi, tanggal gigi kau tu..." Aku memberi amaran tanpa menjawab soalannya itu tadi. Jika aku mengaku sekalipun apa faedah yang dia dapat. Silap hari bulan aku terpaksa mendengar ceramahnya.

"Buat apa kau mendera hati sendiri. Hilang di mata, lenyaplah di hati. Apa aku tidak sehebat si Azman tu?" ucap Wahid tidak puas hati. Aku tidak suka macamana hendak dipaksa-paksa biar pun Brad Pit datang merayu.

"Maafkan aku kalau aku tidak mahu buat apa kau paksa!"

"Aku maafkan." Jawab Wahid. Agaknya dia sudah putus asa hendak memujuk aku menerimanya. Akhirnya dia berlalu meninggalkan aku.

Kenangan lama memang payah hendak dilupakan. Semua yang berlaku membuatkan aku semakin matang dan bijak dalam membuat keputusan. Aku akan terus melangkah dan terus melangkah dan kisah percintaan zaman sekolah ini akan terus aku ingati sebagai satu kenangan yang terindah.


~TAMAT~

No comments :

 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol