Monday, November 9, 2009

Cerpen 1~Kasih Siti Maryam

Siti Maryam mempercepatkan langkahnya. Dia takut sekiranya ayah dan emaknya perasan ketiadaanya di rumah. Dia harus membuat menyelesaikan masalah yang bersarang di kepalanya beberapa hari ini.

“Apasal jalan macam kena kejar ni? Cuba tarik nafas dulu baru jawab soalan saya tu,”ucap Syukri apabila melihat Siti Maryam hendak bercakap. Dia terkejut apabila petang tadi gadis itu menghantar sms dengan mengatakan ada hal penting yang perlu dibincangkan.

“Saya takut ayah dan emak perasan saya tidak ada di rumah.” Balasnya sambil matanya melilau ke kanan dan kiri. Takut sekiranya ada orang lain berada di sekitar kawasan tempat mereka berdua bertemu.

“Duduklah. Apa yang mustahak sangat ni? Selalunya kalau ajak ‘dating’ waktu siang, hari ini waktu malam pula, sudah tu ‘dating’ dekat ‘bus stop’ hujung kampung,” Syukri mengusik gadis yang benar-benar mencuri hatinya. Sejak tingkatan satu lagi mereka sudah berkawan, daripada menjadi kawan baik akhirnya menjadi pasangan berkasih. Walau bagaimanapun hubungan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain lantaran mereka masih lagi belajar.

“Mustahaklah ni. Waktu macam ni bas sudah tidak masuk ke kampung ni. Lagipun esok hari isnin, orang semua dah lepak di rumah berehat,”jawab Siti Maryam geram. Melihat wajah gadis kesayangannya itu masam Syukri memberhentikan hajatnya hendak mengusik lagi.

“Usik sikit pun marah.”

“Bukan marah cuma geram. Sudahlah kepala otak saya ini sudah berfikir. Ingat dapat jumpa ni dapatlah tolong ringankan. Menambah kusut fikiran adalah” marah Siti Maryam. Agaknya masalah yang dihadapinya membuatkan dia mudah marah.

“Yam tarik nafas nafas dulu. Bila sudah lega barulah Yam ceritakan apa masalah negara yang Yam hadapi itu?” pujuk Syukri. Siti Maryam tersenyum mendengarkan ayat daripada lelaki itu. Sifat lelaki itu yang ‘cool’ itulah membuatkan dia senang berkawan dengan Syukri. Hampir tujuh tahun sudah hubungan mereka tidak pernah Syukri meninggikan suara kepadanya. Dia yang selalu naik angin tanpa sebab dan lelaki itulah yang jadi mangsa kemarahannya.

“Ayah suruh Yam kawin dengan sepupu Yam yang baru balik belajar luar negara,”ucapnya dengan nada yang sedih. Syukri tersengih mendengarkannya. Bertambah geram dia melihat reaksi teman lelakinya itu.

“Yam serius, dia pula sengih-sengih.”

“Habis tu Yam hendak Syu buat apa?”

“YA-Allah lembatnya Syu ni. Yam tidak akan ajak jumpa malam ni kalau Yam sendiri boleh selesaikan masalah ini,” Siti Maryam mendengus. Boleh dia tanya hendak buat apa? Dia sebenarnya sayangkan aku atau tidak? Tengok tu orang kutuk dia lembab dia boleh buat bodoh saja. Nasib-nasib dapat ‘boyfriend’ lembab.

“Yam bagitaulah ayah dan emak hendak ambil STPM semula. Pandai-pandailah Yam bagi alasan pada orangtua Yam tu. Umur Yam masih muda kalau hendak kawin sekarang ni. Itulah Yam suka sangat berangan kalau keputusan STPM bagus mesti tidak kena paksa kahwin,” usik Syukri.

“Sakit hati tau bercakap dengan Syu ni. Heee geramnya. Ayah tidak beri Yam pilihan dan keputusannya adalah muktamad kecuali Syu datang meminang. Mungkin ayah akan pertimbangkannya.” Dia sendiri tidak yakin dengan cadangan yang dikemukakannya. Syukri belum pun kerja malah sedang menunggu kemasukkan ke universiti. Siti Maryam tahu cita-cita besar Syukri yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Yam, Syu ni belajar pun belum habis belajar. Setakat STPM ayah dan emak Yam tu tidak akan pandang. Tunggu lepas Syu dapat kerja barulah masuk meminang Yam. Lainlah kalau Yam sudah tidak sanggup tunggu Syu habis belajar.” Syukri sendiri bingung dengan masalah yang dihadapi oleh mereka berdua. Fikirannya buntu. Dia tidak tahu macamana hendak menyelesaikannya.

“Habis tu macamana?”

“Yam kahwin sajalah kan senang,” ucap Syukri tanpa diduga. Hati Siti Maryam remuk mendengar jawapan lelaki yang disayanginya itu. Sampai hatimu Syu.
“Syu memang tidak sayangkan Yam. Baiklah Yam akan terima pinangan sepupu Yam tu. Jangan menyesal Syu...,” ucap Siti Maryam menahan tangisnya. Dia berlari meninggalkan Syukri terpinga-pinga. Berlari dengan airmata yang bercucuran.

******
“Eh, apa ni?” Syukri mengosok kepalanya lalu memandang gadis yang berada di sebelahnya.

“Ingat bahu aku ni bantal. Sedap-sedap dia saja tidur atas bahu orang.” Marah gadis itu. Oh, patutlah perempuan itu marah rupanya dia tertidur di bahunya tapi jangan sampailah menolak kasar kepala otaknya.

“Maafkanlah saya cik. Saya tidak sengaja,”ucap Syukri mengharap. Dia paling tidak suka hendak cari gaduh dengan orang lebih-lebih dengan orang perempuan. Berkawan biar beribu berkasih biar setia pada yang satu.

Syukri memandang jam di tangannya menunjukkan pukul sepuluh malam, dalam dua jam lagi dia akan sampai ke kampung halamannya. Enam tahun dia belajar di luar negara dan kembalinya ke kampung dengan membawa ijazah yang membawa gelaran sebagai doktor. Dr. Syukri Bin Ahmad. Dia sengaja hendak memberi kejutan kepada orangtuanya. Apa khabar Siti Maryam? Nama itu mengusik jiwanya.

“Agaknya kau ni tidak betul. Sekejap aku tengok muka serius sekejap tersengih-sengih. Hish, seramlah,” serentak dengan kata-kata gadis itu Syukri ketawa besar.

“Hey, tolonglah bukannya kau seorang di dalam bas ini.” Gadis itu memasamkan mukanya. Betul-betul lelaki itu menganggu ketenteraman awam yang ada di dalam bas itu. Kedengaran suara yang menyuruh diam.

“Kau ni mesti teringatkan kekasih lama,”serkap gadis itu lagi.

“Macam ahli nujumlah kau ni. Tahu pula saya teringatkan kekasih lama. Nama saya Syukri dan cik pula?” tanya Syukri ramah. Gadis itu pun menggunakan ‘kau’ dan ‘aku’. Aku pun belasahlah turut serta. Tiga jam di dalam bas membuatkan dia mula berasa bosan. Nasib baiklah gadis di sebelahnya itu ramah berbual dengannya.

“Nur Qathryna.”balasnya lalu tersenyum manis.

“Sedih aku mendengar cerita kau ni. Membawa hati bertahun-tahun belajar keluar negara sebab kekasih kawin dengan orang lain. Kau pun silap juga sebab cakap macam tu dengan dia. Aku pun akan buat perkara yang sama bila teman lelaki suruh aku terima pinangan sepupu sendiri. Betullah kau ni lembab....” ucap Nur Qathryna dengan gelak kecilnya apabila sebaik saja mendengar cerita Syukri itu.

“Sesuka hati kau mengata aku ni lembab.” Syukri teringatkan Siti Maryam selalu mengutuk dia lembab sekiranya dia tidak memberikan pandangan atau cadangan kepada gadis itu. Lembab-lembab pun keputusan STPM cemerlang dan sekarang ini bergelar doktor. Bangga beb! Nur Qathryna tersenyum mendengar bebelan lelaki di sebelahnya itu. Senyuman itulah yang membuatkan Syukri semakin teringatkan Siti Maryam. Agaknya sekarang ni kau bahagia dengan suami dan anak-anak kau Yam?
*****
Syukri menyumpah seranah pemandu bas di dalam hati. Tengah malam macam ni pemandu bas tidak mahu masuk ke dalam kampung. Bas itu cuma menurunkan penumpang di hujung jalan kampung. Terpaksalah dia berjalan kaki ke rumah.

“Syu…” satu suara menyapanya sebaik saja dia hendak melangkah meninggalkan ‘bus stop’. Suara itu amat dikenalinya. Syukri menoleh ke belakang. Dia terkejut melihat wanita di hadapannya itu. Berbaju kurung dan selendang putihnya. Wajahnya terlindung oleh selendang yang dipakainya.

“Ini Siti Maryam, Syu. Syu sudah lupakan Yam agaknya.”

“Apa Yam buat di sini, tengah malam macam ni?” tanya Syukri. Seharusnya wanita itu berada di rumah bersama dengan suami dan anak-anaknya.

“Yam, tunggu Syu. Yam tahu Syu balik hari ni. Hari-hari Yam tunggu Syu di sini ,” ucapnya lembut.

“Yam isteri orang. Yam harus ingat tu…” balas Syukri mengingatkan status Siti Maryam. Sekiranya orang lain nampak takut menimbulkan fitnah. Silap haribulan ada penumbuk sampai ke mukanya.

“Dia tidak sayangkan Yam,” kedengaran suara Siti Maryam sedih. Meremang bulu romanya bila tercium bau wangi. Macam bau bunga…hish bertambah seram dibuatnya. Syukri memandang wajah Siti Maryam yang terselindung disebalik selendang putih itu. Kenapa Siti Maryam asyik menundukkan kepalanya?

“Baliklah Yam…hari sudah lewat ni,”ucap Syukri.

“”Syu sayangkan Yam? Hari tu bila Yam tanya Syu tidak jawap soalan Yam,”Siti Maryam meminta kepastian. Selepas mendengar pengakuan dia berjanji tidak akan muncul dalam hidup Syukri lagi.

“Hari tu?” Syukri agak kebingungan dengan pertanyaan itu.

“Hari yang Syu suruh Yam kawin dengan sepupu Yam tu.”

“Oh, hari tu. Yam, memang Syu sayangkan Yam. Yamlah cinta pertama Syu, agak payah untuk Syu lupakan Yam tapi sekarang ni Yam sudah jadi isteri orang. Yam patut melupakan Syu….”

“Terima kasih Syu,” Siti Maryam mengangkat wajahnya sambil tersenyum memandang Syukri. Syukri terpana melihat keayuan Siti Maryam itu. Kelihatan cantik seperti kali terakhir mereka ‘dating’ di ‘bus stop’ ini.

Siti Maryam melangkah pergi tanpa sebarang kata.

“Tunggu Yam…” panggil Syukri tapi malang tidak berbau kakinya tersandung batu. “Aduh…!”

*****
“Alhamdulillah, sudah bangun pun anak ibu ni…” ucap ibunya. Syukri berasa hairan semalam dia belum pun sampai ke rumah. Ibunya sedang mengusap-usap kepalanya yang masih rasa berdenyut-denyut.

“Ibu…” Syukri memandang wajah ibunya inginkan penjelasan.

“Semalam orang kampung jumpa Syukri dekat pondok bas hujung jalan kampung. Syu pun satu balik tidak beritahu ibu dan ayah. Sekarang tengok ni, apa sudah jadi?” Dia tersengih mendengar bebelan ibunya. Suara itulah yang amat dirinduinya selama ini.

“Syu hendak beri ‘surprise’ ibu dan ayah,” Syukri terkekeh ketawa. ‘Surprise’ yang dirancangkan tidak menjadi.

“Ibu, semalam Syu jumpa Siti Maryam. Syu jatuh pun sebab kejar dia,” kata Syukri sebaik ketawanya reda. Ibunya terkejut mendengarkannya. Agaknya otak anaknya tergegar sebab terjatuh. Mustahil!

“Ibu, apa khabar Siti Maryam? Berapa ramai anaknya?”

“Yam sudah tiada nak. Hidupnya menderita sehingga ke akhir hayatnya. Dia meninggal sebab didera oleh suaminya.” Ibunya memberitahu. Jantung Syukri berdegup laju apabila mendengar berita yang disampaikan oleh ibunya itu.

Hatinya dipagut pilu apabila mengetahui perbuatan yang tidak berperikemanusiaan suami Siti Maryam. Itu. Habis tu siapa yang dijumpainya semalam? Syukri berteka-teki sendiri. Agaknya roh Siti Maryam selama ini menantinya. Menantinya untuk memberi jawapannya yang pernah ditanya oleh Siti Maryam saat kali terakhir pertemuan mereka di tempat yang sama semalam.

“Yam, maafkan Syu…” Bisiknya perlahan. Al-Fatihah, semoga kau tenang di sana Siti Maryam.

TAMAT


*Sila beri komen dan pandangan anda.
Setiap komen dan pandangan amat dihargai bagi menghasilkan yang lebih baik.

No comments :

 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol