Sunday, September 1, 2013

CERPEN - KASIH AMANI


اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَا تُهُ
 Hari ini 18 Ogos 2013 (Ahad), Cerpen bertajuk 'Kasih Amani' tersiar di New Sabah Times.

 



Matanya mencerlung memandang anak lelakinya.  Nasi yang dikunyah terasa seperti pasir.  “Apa?” Melengking suara Maimunah mendengar penjelasan gadis di hadapannya itu.
Mendengarkan suara isteri yang boleh memecahkan gegendang telinga, pantas Ikhlas bertanya,“Amani tinggal dengan siapa?”   Dia sendiri terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh kekasih anaknya.  

Kelihatan Amani tenang dengan situasi yang dihadapinya sekarang.  Amani menoleh Iqram yang duduk di sebelah.  Jawapan yang akan keluar dari mulutnya sekejap lagi pasti akan membuatkan ibu ayah Iqram terkejut lagi.
Amani tersenyum manis walaupun hatinya sudah tercalar dengan penerimaan ibu Iqram.  Amani memberitahu dengan tenang, “Selepas kejadiaan itu saya tinggal di rumah anak yatim.”   Muka wanita itu dilihatnya berubah masam.  Tidak seperti mula-mula tadi, kehadiran Amani disambut dengan senyuman manis dan tutur kata yang lemah-lembut.
“Iqram, ibu tidak mahu melihat muka perempuan ini.  Lepas makan hantar dia balik, ” ucap Maimunah  menjeling tajam Amani seraya bingkas bangun.
Iqram memandang Maimunah meminta belas simpati lalu berkata,“Ibu....”  Dia  memerhatikan ibunya berlalu tanpa menyahut panggilannya.  Iqram berasa kecewa dan terkejut dengan reaksi ibunya. Ikhlas pantas mengekori langkah si isteri.   Amani membatu seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Maimunah berasa sakit hati. Perempuan seperti Amani tidak layak menjadi menantunya.  Dia tidak mengharap perempuan yang cantik atau kerabat di raja menjadi menantunya cukuplah seorang perempuan yang mempunyai latar belakang yang baik.  Rasa laparnya hilang entah ke mana?  Dadanya berombak ganas dan  kepalanya berdenyut-denyut sakit apabila memandang wajah Amani yang tenang.
Pantas Ikhlas menarik tangan isterinya yang hendak menaiki anak tangga.  “Mai...kenapa ni?  Bukankah Amani tu tetamu kita?  Walaupun siapa pun dia, Mai tidak patut  buat dia macam tu....” Kedengaran suara Ikhlas menegur sikap isterinya yang melampau itu.
“Saya tidak mahu bermenantukan anak penagih dadah.  Sudahlah asal usul keturunannya pun kita tidak tahu.  Masih ramai lagi anak dara yang boleh dibuat menantu tapi bukan dengan perempuan anak pembunuh tu.”  Maimunah mendengus.  Kenapa Iqram tidak berterus terang lebih awal lagi?  Sekiranya anaknya itu sudah tahu sejarah keturunan gadis itu kenapa Iqram  masih mahu membawa ke rumah ini?  Sengaja hendak menaikkan darah. 
“Mai...perlahankan suara tu.  Kasihan Amani kalau dia dengar,” tegur Ikhlas.
“Abang sajalah layan perempuan tu.  Saya hendak naik, tengok muka dia yang menyampah tu percuma darah saya naik nanti.  Sukalah dia tu kalau saya mati, bolehlah dia kahwin dengan Iqram” Bagaikan das yang meletus kata-kata Maimunah. 
 Ikhlas mengeleng. Dia tidak menjangka begitu sekali sikap isterinya.  “Astaghfirullah al-azim...mengucap Mai.  Setan sudah menguasai hati dan fikiran.” Dia cuba menenangkan marah isterinya yang meruap-ruap ketika itu.  Kemarahan wanita itu jangan ditambah jika tidak mahu berpanjangan.  Sudahnya Ikhlas membiarkan isterinya meninggalkan mereka semua.
            “Amani,” tegur Iqram yang melihat sedari tadi Amani mendiamkan diri.  Kalaulah orang lain sudah pasti akan menangis,  menghadapi situasi pertama kali bertemu dengan bakal mertua  dan terus mendapat tentangan daripada keluarga lelaki.  Malah dia dipandang hina kerana berbapakankan seorang penagih dadah dan membunuh emaknya.
Amani tersenyum pahit dengan lambat dia berkata kepada Iqram, “Saya tidak apa-apa, Iqram jangan risau,”  Dia sudah menjangkakan perkara ini akan terjadi.   Sudah dibicarakan hal ini dengan Iqram tetapi lelaki itu terlalu yakin  ibunya akan menerima dia sebagai menantu.  Keyakinan Iqram itulah membuatkan dia kuat untuk melangkahkan kaki ke rumah lelaki itu.  Namun Amani tetap bersedia untuk menghadapi keberangkalian yang akan terjadi.  
Keceriaan milik gadis itu sudah hilang dan wajah pujaan hatinya  kini menjadi mendung.  Tidak seperti selalu apabila mereka bertemu, gadis itu petah berbicara dan ada saja idea untuk mengenakannya.  Iqram menyesal kerana sering mendesak Amani untuk segera bertemu orangtuanya.  Mungkinkah  hari ini bukan masa yang sesuai untuk mereka bertemu? Jika bukan hari ni, bila lagi?  Dia tidak mahu melambatkan hasrat hatinya yang satu ini.
Ikhlas menghampiri Iqram dan Amani.  Lantas dia memberitahu, “Maafkan ibu Iqram, Amani.  Dia kurang sihat.”   Amani tahu alasan diberikan itu sengaja diciptakan.  Dia cuma tersenyum mendengarkannya.  Kurang sihat?  Amani tidak dapat menerima alasan itu.  Wanita itulah yang menyambutnya di muka pintu dengan senyuman manis gula.  Tangan wanita itulah yang mengenggam erat tangannya dan memimpin masuk hingga ke ruang tamu.   Malah wanita itu memuji dia nampak cantik dengan berbaju kurung cotton english biru.  ‘Bila hati sudah tidak suka kek velvet yang sedap di makan pun terasa pahit’, getus hati Amani.
Ikhlas tidak sanggup menatap wajah Amani yang kelihatan sugul itu.  Dia berasa bersalah yang amat mendalam dengan penolakan isterinya.  Kata Ikhlas kepada anaknya, “Iqram, hantar Amani balik.  Ayah hendak menjenguk ibu kamu di atas.”Bukan dia hendak menghalau Amani tapi dia sendiri tidak sanggup melihat kekecewaan wajah gadis itu.  
Sikap isterinya itu membuatkan dia malu untuk berhadapan dengan Amani.  Biarlah keadaan menjadi jernih barulah dia akan berdiplomasi dengan isterinya itu.  Dia tidak membantah sekiranya Iqram hendak beristerikan Amani. 
 Amani dilihatnya seorang gadis yang baik, tutur katanya sopan dan nampak ketegasan pada dirinya.  Lagipun dia yakin Iqram bahagia bersama wanita pilihannya.  Bagi Ikhlas tiada sebab dia tidak menerima Amani menjadi menantunya.  Status Amani yang berbapakan seorang penagih dan pembunuh tidak mendatangkan masalah kepadanya.  Orang yang membunuh dan menagih itu bapanya bukannya Amani.  Ikhlas yakin anaknya membuat pilihan yang terbaik untuk dirinya.
Sebaik saja Ikhlas hilang dari pandangan, Iqram berkata dengan tegas kepada Amani,“Walau apa pun yang terjadi kita tetap akan kahwin.  Percayalah....”  Dia tahu latarbelakang gadis itu tidak seindah yang dipunyai oleh orang lain.  Malah dia kagum dengan kekuatan yang ada pada diri Amani.  Dia tidak malu mengaku bapanya seorang penagih dan membunuh ibunya sendiri di awal perkenalan mereka.
Amani memandang wajah kesayangannya.  Ada tanda kesedihan di mata lelaki itu.  Amani berkata dengan lembut, “Saya tidak mahu Iqram jadi anak derhaka.”  Dia tidak mahu mengeruhkan hubungan antara ibu dan anak.
Iqram memandang gadis di hadapannya itu.  Dia tahu Amani seorang yang tegas tapi kali ini dia akan berkeras.  “Kita tetap akan kahwin, Amani.  Percayalah dalam tempoh tiga bulan kita akan menjadi suami isteri,” kata Iqram dengan nada lembut.
Amani hanya mendiamkan diri.  Bukan masa yang tepat untuk membicarakan mengenai perkahwinan mereka.  Pasti fikiran Iqram bertambah kusut sekiranya dia membantah.  Walau apa yang akan terjadi Amani tidak mahu berkahwin tanpa restu ibu ayah Iqram.  Iqram telah meletakkannya di tempat yang sukar.
“Amani, pasti ibu akan menerima Amani sebagai menantunya.  Iqram tahu bukan senang bagi Amani menghadapinya tapi Iqram pasti ibu akan menerima sayang satu hari nanti.  Sayang kena sabar dan Iqram tahu Amani pasti boleh,” pujuk Iqram.  Itulah Iqram lelaki yang dikenalinya hampir setahun.  Dia memang baik dan beruntung siapa yang memilikinya sebagai suami. Sekarang ini harapannya untuk menjadi pendamping hidup lelaki itu kelihatan  kabur.   Sanggupkah Iqram membelakangkan kedua orang tuanya?  Syurga terletak di bawah kaki ibu dan Amani tidak mahu Iqram menjadi anak derhaka.

**********

            Maimunah berjalan ke kiri, sekejap beralih ke kanan ruang tamu rumah.  Langkah kaki menghampiri suami yang sedang membaca suratkhabar.  Dia melabuhkan punggung di sebelah  lalu bertanya kepada Ikhlas,“Apa sudah jadi dengan Iqram tu bang?” Dia risau dengan keadaan anaknya, balik dari kerja terus berkurung di dalam bilik.  Waktu makan malam pun anaknya tidak turun.  Suami seperti turut memboikot dirinya sejak kehadiran Amani ke rumah mereka.  
            Wajah suami dipandang.  Maimunah mengeluh tatkala suami tidak memberikan sebarang respon.  Mereka hanya tiga beranak di dalam rumah ini.  Anak lelakinya melancarkan mogok dan suaminya kurang bercakap dengannya.  Maimunah menyalahkan Amani.  Jika gadis yang dibencinya itu tidak datang ke rumah sudah tentu pertengkaran tidak berlaku dan dia tidak sakit hati.  Memang dia tidak nafikan Amani cantik dan lemah-lembut tutur katanya. Gadis itu tidak melawan apabila dia menghamburkan kata-kata kesat.  Malah dia terkejut apabila Iqram memberitahunya gadis itu tidak akan berkahwin dengan anaknya tanpa restu daripada mereka berdua.
            Latarbelakang gadis itu membuatkan dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia akan bermenantukan anak penagih dadah dan pembunuh.  Apa jawapan yang harus diberi  sekiranya saudara-mara dan rakan-rakan apabila bertanyakan asal-usul menantunya? Malu! Sudah tentu akan menjadi bahan perbualan.  Dia mana dia hendak letak mukanya?  Iqram hanya satu-satunya anak lelakinya dan mustahil dia tidak boleh mencarikan calon yang lebih baik daripada Amani.  
            Maimunah mengetapkan bibirnya.  Hatinya sebal kerana tidak dilayan. Langsung suaminya tidak memperdulikannya. “Abang!” Meninggi suaranya memanggil Ikhlas.
            “Kenapa Mai? Apa yang Mai tidak puas hati lagi ini?  Iqram tidak akan kahwin dengan Amani tanpa restu Mai.  Bukankah itu yang Mai mahukan?  Sukalah Mai melihat Iqram tu jadi macam tu? “  Bertubi-tubi soalan yang dilontarkan oleh suaminya.  Maimunah menjeling suaminya.
            Ikhlas ketawa melihat tingkahlaku Maimunah.  Dia tahu isterinya marah dan dengan lembut Ikhlas berkata, “Sepatutnya Mai berterima kasih dengan Amani. Dia tidak akan berkahwin dengan anak lelaki kita tu tanpa restu daripada kita berdua.   Iqram tidak membelakangkan orang tuanya.  Apa yang kita dapat berkeras macam ni? Mai suka tengok keadaan anak kita yang tidak terurus dan nampak menderita?  Iqram yang hendak berkahwin biarkanlah.  Lagipun abang tengok Amani tu baik orangnya.”  
            Ikhlas menanti isterinya bersuara.  Lama dia menantikan, lalu Ikhlas menyambung kata-katanya “Amani tidak minta hidupnya sebegitu rupa.”
            “Iqa setuju dengan ayah tu ibu...” Atiqah menyampuk perbualan ayah dan ibunya.  Begitu serius sekali wajah kedua orang tuanya.  Dia putus urat  tekaknya memberi salam.  Dia pun serbu masuk ke dalam, nasib baiklah pintu tidak berkunci.  Serius sekali ayah dan ibunya berbincang.
            Maimunah menjenguk mencari-cari kelibat cucu-cucunya lalu bertanya kepada anak perempuan sulungnya, “Balik seorang saja? Mana budak-budak?”  Dua hari lepas dia menelefon kedua anak perempuannya dengan harapan agar si kakak dapat memujuk adik lelaki bungsu mereka.
            “Budak-budak pergi tengok wayang dengan abah mereka.  Iqa pun tidak boleh lama ni ibu.  Iqa sudah janji hendak makan tengahari  bersama-sama.”  
            “Laaaa, penat-penat ibu masak banyak.  Ingatkan semua datang...” Maimunah memandang keluar.  Mana yang seorang lagi? Seorang ini selalu datang lambat.  Janji pukul 10 pagi mesti pukul 12 tengahari baru datang. Janji tidak pernah ditepati.
            Atiqah serba salah hendak memberitahu lalu tanpa memandang muka ibunya,  dia memberitahu, “Qilah tidak dapat datang.  Katanya tadi dia ada hal dengan emak mertuanya.”  Pasti ibu akan marah kerana adiknya  tidak memberitahu terus kepada ibu mereka itu.  Aqilah memberitahu kepadanya yang dia tidak akan masuk campur soal pilihan isteri lelaki mereka.  Dia pun turut gembira sekiranya adiknya itu bahagia.
            “Kamu berdua ni kalau tidak di suruh datang ke rumah, hendak menjenguk ibu pun payah sekali.  Bukan jauh mana pun, setengah jam pun sudah sampai ke rumah ni,”  kata Maimunah kepada Atiqah seraya memandang  garang muka anaknya.  Sejak anak-anak perempuannya berkahwin dan beranak-pinak ni jarang sekali mereka meluangkan masa bersama-sama.  Cucu-cucu pun jarang menjenguk.  Malah  tidak mesra dengannya dan lebih kerap berada di rumah besannya.  Bukannya dia tidak pernah mengadu dengan kedua anak perempuannya.  Jawapan yang diberi hanya akan menyakitkan hati.
            Atiqah menarik nafas.  Rasa menyesal balik apabila kedatangannya hanya untuk mendengar kata-kata ibunya yang menyakitkan.  Dia sebolehnya tidak mahu membalas ayat yang keluar dari mulut ibunya.  Atiqah mengalih pandangan ke arah ayahnya, seperti kebiasaan ayahnya hanya mendiamkan diri.  
            “Ibu suruh Iqa balik dengan Qilah supaya tolong pujuk adik kamu tu.  Kenalkan dia dengan kawan-kawan kamu yang masih bujang.  Ramai perempuan, itu juga yang dimahukannya.  Manalah tahu Iqram berubah kalau jumpa perempuan yang lain,” ucap Maimunah dengan perasaan sayu kepada Atiqah.  Dia sudah tidak tahu cara hendak menegur anak lelakinya.  Sejak akhik-akhir ini Iqram sudah pandai balik lambat dan apabila dia bertanya Iqram hanya mendiamkan diri dan terus berlalu ke biliknya tanpa sepatah kata.
            Atiqah pening dengan permintaan ibunya.  Sudah tentu Iqram akan marah sekiranya dia bersetuju untuk memperkenalkan Iqram dengan wanita lain.  Iqram dan ibunya masing-masing degil.  “Iqa dan Qilah malaslah masuk campur hal adik ni, ibu.  Pandai-pandailah ibu uruskannya.  Iqa sudah lambat ni,” ucapnya.   

Dia dan adik perempuannya tidak mahu terlibat memusnahkan kasih yang tercipta di antara Iqram dan Amani.  Ramai gadis yang ingin menjadi pasangan Iqram tapi semua adiknya tidak berkenan.  Sudah tentu Amani istimewa hinggakan warna-warni cinta yang indah hinggap di hati Iqram.
Maimunah menjeling tajam Atiqah.  Belum pun sampai lima minit sudah hendak balik.  Nasi seperiuk, ayam sekuali dan sayur sebelangga pasti dibuang akhirnya.  Rasa geram menghuni diri masih belum hilang dengan sikap anak-anaknya membuatkan dia rasa terpinggir
. 
Sebaik saja Atiqah melangkah keluar pintu, suara Maimunah bergema,Baliklah!”  Nafasnya turun naik.  Anak-anak perempuan langsung tidak ambil peduli akan perasaannya.  Sejak berkahwin sudah tidak memperdulikannya.  Anak lelaki pula sedang melancarkan mogok dan hanya mendiamkan diri apabila ditegur.  Awal pagi ke pejabat dan balik terus berkurung di dalam bilik.  Hanya kelihatan mukanya waktu makan malam itupun setelah Ikhlas puas mengetuk pintu bilik.  Iqram hanya mendiamkan diri.  
            Maimunah merenung wajah Ikhlas, suami yang dikahwininya selama 30 tahun.  “Kenapa?” soal Ikhlas sedari tadi memerhatikan isterinya yang sedang berperang dengan emosi.  Ikhlas tidak mahu memperbesarkan isu yang sedang berlaku.  Buka mulut saja dia akan bertelagah dengan Maimunah.  Kesudahannya jalan yang terbaik adalah dengan mengalah.  
            Maimunah mengelengkan kepala.  Dia gagal menjadi ibu kepada anak-anaknya?  Airmata yang jatuh menitis di pipi dibiarkannya lalu berkata kepada suaminya dengan nada yang lirih,”Mai bukan ibu yang baik untuk anak-anak kita.”
            Ikhlas mengusap lembut pipi isterinya.  Seorang isteri untuk dikasihi dan disayangi bukannya untuk dimarahi. Sikap pemarah isterinya itulah saling  melengkapi kehidupan berdua.  Dia akan terasa kosong sekiranya sehari dia tidak mendengar isterinya itu tidak marah. 
“Mai, isteri dan ibu yang baik cuma anak-anak tidak dapat menerima sikap pemarah sayang tu,” ucapan Ikhlas lembut itu menyentuh hati Maimunah.  Dia bersyukur kerana mempunyai suami yang sabar melayan kerenahnya.  
Dia harus berubah sekiranya tidak mahu kehilangan orang-orang kesayangan.  Menyedari kekhilafan diri, Maimunah berkata kepada suaminya, “Maafkan Mai, bang.”

*********

            Maimunah tersenyum bahagia.  Dia memanjatkan rasa syukur kepadaNya kerana diberi peluang untuk mengecapi kegembiraan.  Sedikit demi sedikit dia dapat mengawal perasaan marahnya.  Fikirannya pun menjadi tenang.  Hubungan dengan anak-anak semakin akrab.  Setiap minggu mereka akan berkumpul sekiranya anak-anak tidak ada program lain.  Kemeriahan hidup sekeluarga sungguh bermakna baginya ditambah lagi dengan kehadiran ahli baru.
            Perkahwinan Iqram dengan Amani dilangsungkan dengan sederhana.  Dia tidak peduli dengan cakap-cakap yang dilemparkan kepada keluarganya kerana bermenantukan Amani.  Mulut orang,  jika dibiarkan lama-lama akan berhenti sendiri.  Maimunah menerima Amani sebagai menantunya dengan hati yang terbuka.  Ternyata Iqram tidak salah memilih dan sejak tinggal bersama Maimunah sudah mempunyai teman berkongsi kegemaran dan citarasa.  Sikap dan tingkahlaku Amani banyak membantu perubahan dirinya.  Menantunya itu juga rajin membantu di dapur.
            Ikhlas bertanya kepada isterinya, “Apa yang Mai renungkan tu?”  Ikhlas  memandang wajah si isteri  dan dibalas  oleh si isteri dengan penuh kasih-sayang.  Suami yang amat disayanginya hingga ke akhir hayat nanti.  Ikhlas mengenggam jari-jemari wanita itu seakan tidak mahu melepaskan.    
  Apabila seorang suami memandang isterinya dengan kasih sayang
dan isterinya memandang dengan kasih sayang.  Bila suami memegang
telapak tangan isterinya maka dosa-dosa keduanya berguguran dari celah
jari tangan keduanya. (H.R Rafi’i)

Maimunah tersenyum bahagia dan membiarkan soalan itu terus berlalu.
                                                                                                                             






10 comments :

deno said...

tahniah akak!! :)

wahhh... cerpen akak selalu keluar la.... :)

Nazrina Hussin said...

terima kasih adik

Hafiza AizZawa said...

mcm mn ye cite tu..npk menarik..

dhuhasteffa novel said...

minta tempias aura-aura bertuah dulu ni.. :-)

Nazrina Hussin said...

hahahaha sis dhuha, aura kurang menyengat tunggu novel keluar & e novel. idea yang timbul tenggelam

Ayu Zan said...

bagus ceritanya.. ada moral of the story. :)

salam kenal..

Nazrina Hussin said...

terima kasih Ayu Zan, sudi2kan berkunjung lagi

Noor Mala Shahar said...

MENARIK CERITANYA...

miss vie said...

hai..kak..wa..bagus la cerita akak ni...sya jmpa blog yg menarik ni pun..kerna akak pnah berkungjung p blog sya..trma ksih... :)

drNajmi anuar said...

wahh kamu penulisnya ye cerita cerpen ni..hebat!!

hehe saya pun dah lama tak layan cerpen2 ni, last masa sekolah hari tu..

best2..saya baca sampai habis ni hehe chayok2!! c;

 

Copyright 2015 © Nazrina Hussin. Design by Ayu Barbydol